Oleh Nabila Uzma Abd Kadir
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Permintaan tinggi terhadap makanan tradisional seperti tuhau, bosou, mi kolok dan laksa Sarawak membuatkan peniaga di Borneo Native Festival (BNF) tidak menang tangan melayan pelanggan yang mengunjungi gerai mereka.
Pengusaha Wilhelm Avila Empire, Wilhelmina Avila Beda, 39, berkata sebelum menjelang petang, sebanyak 200 pek makanan tradisional Sabah termasuk set ambuyat telah habis terjual.
“Sambutan memang di luar jangkaan. Kami sediakan 200 pek pun masih tidak cukup.
“Permintaan terhadap makanan tradisional Sabah amat tinggi hingga kebanyakan produk kami habis dijual dalam masa yang singkat sepanjang dua hari ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata gerainya menawarkan 12 jenis hidangan tradisional termasuk nasi kuning kokot, ambuyat, serunding tuhau, sambal bosou dan ikan masin yang dibawa khas dari “Negeri di Bawah Bayu” itu.
Wilhelmina berkata pelanggannya bukan sahaja terdiri daripada warga Sabah yang menetap di Kuala Lumpur, malah pengunjung antarabangsa termasuk dari Korea, Jepun dan Bangladesh yang teruja mencuba juadah berkenaan.
Sementara itu, pemilik Maria Noodles, Suria Amran, 55, yang pertama kali menyertai festival tersebut berkata sambutan terhadap mi kolok dan laksa Sarawak amat menggalakkan daripada warga tempatan dan pelancong asing.
Beliau berkata keistimewaan mi kolok Sarawak terletak pada penggunaan mi khas serta pilihan hidangan bersama ayam atau daging.
“Selain mi kolok, laksa Sarawak turut menjadi pilihan pengunjung kerana menggunakan pes buatan sendiri serta bihun yang berbeza daripada laksa utara.
“Kuah laksa Sarawak dihasilkan menggunakan udang dan campuran rempah tersendiri yang memberi rasa berbeza daripada hidangan laksa di negeri lain,” katanya.
Suria berkata BNF memberi peluang kepada masyarakat Borneo memperkenalkan makanan tradisional kepada orang ramai, sekali gus memperluas pemahaman terhadap budaya serta warisan kulinari Sabah dan Sarawak.
Bagi pemilik Dapo Duda, Muhammad Firdaus Ibnil, 40, keenakan ayam pansuh yang sukar diperoleh di Semenanjung mendorong beliau mempelajari cara penyediaan hidangan tradisional Sarawak itu sebelum menjadikannya sebagai sumber pendapatan sejak pandemik COVID-19.
“Walaupun bukan berasal dari Sarawak, saya mengekalkan teknik tradisional termasuk penggunaan buluh khas dan rempah tertentu yang dibawa dari negeri itu,” katanya yang turut mengakui antara cabaran dihadapi ialah mendapatkan bahan asli seperti tepus iaitu sejenis herba yang sukar diperoleh di Semenanjung.
Muhammad Firdaus berkata setakat ini sambutan diterima amat menggalakkan terutama daripada kalangan masyarakat Sarawak yang menetap di sini kerana hidangan itu membangkitkan nostalgia kampung halaman mereka.
“Banyak daripada pelanggan saya orang Sarawak. Mula-mula mereka cuba sebab rindu makanan kampung, lepas itu mereka jadi pelanggan tetap. Ini kali pertama saya sertai BNF kerana sebelum ini saya hanya buat jualan secara dalam talian pada hujung minggu,” katanya.
Selain ayam pansuh, beliau turut menawarkan variasi premium seperti black angus pansuh dan wagyu pansuh selain cili putih goreng serta garam bario yang dibawa khas dari Sarawak.
BNF 2026 yang berlangsung di Pasar Seni dari 22 hingga 24 Mei merupakan acara tahunan anjuran Persatuan Sukaseni Kuala Lumpur (Sukaseni) sempena sambutan Pesta Kaamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial