IPOH, 23 Mei (Bernama) -- Polis giat mengesan dua beradik yang melarikan peti wang dan telefon bimbit milik seorang peniaga wanita yang menjual “nasi bajet” di gerainya di tepi Jalan Lebuh Meru Raya di sini, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata individu pertama yang dikesan ialah Mohd Faiz Naharoddin, 36, atau dikenali sebagai “Paeh”.
“Lelaki berkenaan mempunyai ketinggian anggaran 180 sentimeter, berkulit sawo matang dan bertubuh kurus dengan alamat terakhir di Halaman Meru Damai, Ipoh.
"Seorang lagi individu yang dikesan ialah adiknya Mohamad Arif Naharoddin, 25, atau dikenali sebagai ‘Aboy’, yang turut mempunyai alamat terakhir sama," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata Mohamad Arif mempunyai ketinggian 175 sentimeter, berkulit sawo matang dan bertubuh kurus.
Sehubungan dengan itu, Muhammad Najib berkata orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat tentang kedua-dua lelaki berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Azrul melalui talian 017-5823467 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa yang berusia 21 tahun sedang berniaga dan membungkus makanan sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna perak yang dipercayai berpura-pura membeli makanan.
Ketika mangsa sedang membungkus nasi, suspek disyaki melarikan sebuah peti wang mengandungi wang tunai serta sebuah telefon bimbit jenis Iphone 13 milik wanita itu sebelum melarikan diri menaiki motosikal dan menghala ke arah bulatan Meru Raya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial