AM

Malaysia Terus Jadi Rujukan Dunia Dalam Pengurusan Islam, Haji - Zulkifli

16/05/2026 02:14 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Malaysia terus menjadi rujukan dunia dalam aspek pengurusan hal ehwal agama dan haji, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata meskipun Islam kini berdepan pelbagai cabaran dan diskriminasi di peringkat global,  Malaysia memperlihatkan pengurusan Islam yang baik sehingga menjadi contoh kepada banyak negara.

“Realitinya, negara kita menjadi rujukan dunia terhadap amalan Islam termasuk pengurusan dan aspek  hal ehwal agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Multaqa Petugas Jemaah dan Agensi 2026, sebuah himpunan petugas serta agensi yang terlibat dalam pengurusan dan kebajikan jemaah haji anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di sini hari ini.

Sementara itu, Zulkifli berkata cabaran dunia hari ini yang semakin kompleks dan tidak menentu menuntut satu pendekatan serta cara fikir baharu supaya institusi dan gerakan Islam terus kekal relevan serta berada di hadapan.

Beliau berkata semua pihak tidak boleh terlalu selesa, sebaliknya perlu terus berfikir, berinovasi dan menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat selaras konsep “Itqan” yang menekankan aspek kualiti, profesionalisme, ketelitian dan ketekunan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan