AM

TH Sedia Perkhidmatan Berkualiti, Keselesaan Optimum Di Masyair Musim Ini

16/05/2026 01:23 PM

Daripada Amirul Mohd Sajadi

MAKKAH, 16 Mei (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) bakal memberikan pengalaman berbeza kepada jemaah haji Malaysia melalui penyediaan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan standard keselesaan optimum di kawasan operasi Masyair, bagi musim haji 1447H/2026M.

Antara peningkatan kemudahan yang akan dinikmati jemaah termasuk penyediaan katil sofa individu, sistem penyaman udara lebih efisien, ruang simpanan barang yang lebih teratur serta kemudahan pengecas telefon di setiap lokasi penempatan.

Selain itu, TH turut mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan jumlah tandas hingga enam kali ganda berbanding musim lepas bagi memastikan keselesaan jemaah di kawasan yang sesak itu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata penambahbaikan melibatkan penempatan di Arafah dan Mina itu adalah antara usaha terbesar TH setakat ini dalam meningkatkan tahap keselesaan jemaah sepanjang operasi Masyair.

"Persiapan keseluruhan operasi Masyair kini telah melepasi 90 peratus dengan hampir semua kemudahan utama siap sepenuhnya menjelang hari wukuf hujung bulan ini," katanya selepas meninjau persiapan operasi Masya'ir, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata antara pembaharuan utama tahun ini ialah penggunaan khemah baharu di Arafah yang dilengkapi penebat haba serta unit pendingin hawa jenis 'split' bagi mengurangkan suhu dalam khemah, selain pemasangan tanda nama dan gambar jemaah pada setiap katil sofa bagi memudahkan jemaah mengenal pasti lokasi masing-masing.

"Di Mina, TH turut meningkatkan jumlah tandas kepada kira-kira 600 unit berbanding kira-kira 100 unit sebelum ini, selain menyediakan soket pengecas telefon di setiap ruang jemaah sebagai memenuhi keperluan komunikasi semasa," katanya. 

Mustakim berkata semua inisiatif itu dilaksanakan dengan satu matlamat, iaitu memastikan jemaah Malaysia menikmati perjalanan ibadah yang lebih selesa, tersusun dan kondusif sepanjang berada di Masyair.

“Kita mahu mereka hadir ke Arafah dan Mina dengan tenang, selesa dan tidak lagi memikirkan soal tempat berehat, kemudahan asas atau keperluan harian kerana semuanya telah disediakan.

“Apabila kebajikan dan keselesaan mereka terjamin, jemaah dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada ibadah dan seterusnya mengejar haji mabrur,” katanya sambil menambah bahawa segala penambahbaikan itu adalah bukti komitmen berterusan TH dalam memberikan layanan terbaik.

Operasi Masya'ir ialah kemuncak kepada keseluruhan operasi haji yang melibatkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Mina, Muzdalifah dan Makkah selama lima hari bermula 8 hingga 13 Zulhijjah bagi menyempurnakan ibadah rukun dan wajib haji.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan