KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- AmanahRaya Investment Management Sdn Bhd (ARIM) menyalurkan sumbangan berjumlah RM42,280 untuk menyokong keperluan dan kebajikan 113 penghuni warga emas di Rumah Seri Kenangan Pengkalan Chepa, Kelantan.
Sumbangan itu diserahkan menerusi inisiatif jalinan komuniti “Lentera Kasih ARIM” hari ini, yang merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyantuni golongan berkenaan.
Pengerusi ARIM Mohd Razlan Mohamed berkata program itu bukan sekadar inisiatif program CSR tetapi platform terbaik untuk syarikat pengurusan aset itu mendekati komuniti dengan lebih dekat dan bermakna.
“Kami percaya kelestarian bukan sahaja merangkumi kesinambungan perniagaan, tetapi juga tanggungjawab sosial yang perlu digerakkan seiring. Justeru, ARIM komited untuk terus memperluas inisiatif seperti ini agar lebih banyak komuniti mendapat manfaat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sokongan yang bermakna bukan hanya terletak pada sumbangan material, tetapi melalui kehadiran, perhatian dan jalinan hubungan dengan komuniti.
Mohd Razlan juga berharap program itu membawa kegembiraan kepada penghuni di rumah tersebut, selain menghargai pengalaman dan kisah hidup yang dikongsikan bersama-sama.
Antara pengisian program itu ialah sesi ramah mesra, aktiviti riadah dan mewarna batik yang dijayakan oleh 30 sukarelawan warga kerja ARIM dengan penghuni serta penjaga di rumah berkenaan.
Program turut menerima kunjungan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Anuar Che Mahmood mewakili Ketua Pengarah jabatan itu.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial