LABUAN, 16 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Labuan menyantuni keluarga pencarum yang kehilangan orang tersayang untuk memastikan mereka mendapat bimbingan, sokongan dan perlindungan sosial yang sewajarnya.
Pengurusnya, Sylvester Candy Anak Pai berkata organisasi itu tidak menunggu keluarga pencarum datang ke pejabat untuk mendapatkan bantuan, khususnya ketika mereka masih dalam proses menyesuaikan diri dengan kehilangan orang tersayang.
“Kami bertemu mereka secara peribadi, berinteraksi dan memahami situasi mereka. Pendekatan ini membolehkan kami menerangkan manfaat yang ada di samping menunjukkan bahawa PERKESO ada bersama dalam saat-saat sukar,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai lawatan kebajikan ke rumah Allahyarham Arman Ishak di Kampung Batu Arang di sini.
Arman meninggal dunia pada 13 April lepas dan meninggalkan balu, Kurniah Ambo Dalli serta seorang anak lelaki berusia 16 tahun, Muhammad Quzhairie Arman.
Sylvester berkata kunjungan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan PERKESO Labuan bagi memastikan tanggungan pencarum tidak tercicir selepas kematian pencari nafkah keluarga.
Pada lawatan itu, pihaknya turut menyampaikan Kotak Prihatin sebagai tanda keprihatinan dan solidariti, dan keluarga berkenaan akan menerima pencen penakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial