KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan kaedah pembedahan ikan berasaskan sistem anestesia kitar semula yang membuka dimensi baharu dalam rawatan hidupan akuatik.
Inovasi dikenali sebagai “Fish Anesthetic Delivery System” itu dibangunkan bagi membolehkan prosedur pembedahan dilakukan terhadap ikan secara lebih selamat dan sistematik tanpa menjejaskan bekalan oksigen sepanjang rawatan dijalankan.
Pegawai Veterinar Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) UPM Dr Mohd Fuad Matori berkata teknologi itu merupakan hasil penyelidikan lebih 15 tahun dalam bidang kesihatan ikan dan akuakultur.
“Kaedah ini menggunakan mekanisme yang membekalkan air beroksigen bersama bahan anestetik terus ke sistem pernafasan ikan, sekali gus membolehkan pembedahan dilakukan di luar air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata prosedur laparotomi atau pembedahan membuka rongga abdomen yang dijalankan terhadap ikan tilapia sebagai model kajian mengambil masa kira-kira 20 hingga 30 minit sebelum ikan dipindahkan ke tangki pemulihan khas.
Katanya, prosedur itu melibatkan beberapa proses utama termasuk induksi anestesia, insisi, jahitan dan rawatan pascapembedahan, dengan ikan dipantau di dalam tangki khas selama 10 hingga 14 hari sebelum benang jahitan dibuang, manakala proses penyembuhan penuh boleh mengambil masa hingga 30 hari.
Dr Mohd Fuad berkata sepanjang prosedur, penggunaan antiseptik dan antibiotik membantu mengurangkan risiko jangkitan, selain sampel biopsi turut diambil bagi tujuan analisis mikroskopik dan penyelidikan lanjut.
Beliau berkata kaedah itu kini digunakan dalam penyelidikan serta rawatan ikan hiasan bernilai tinggi seperti koi, ikan emas dan arowana termasuk membuang ketumbuhan serta membaiki struktur fizikal ikan.
“Ia dilihat mampu memberikan nilai tambah kepada industri akuakultur negara yang semakin berkembang, khususnya dalam aspek rawatan, pembiakan dan pengurusan kesihatan hidupan akuatik,” katanya.
Beliau berkata pembangunan kepakaran dalam bidang kesihatan ikan penting memandangkan sektor akuakultur berkait rapat dengan keterjaminan makanan dan industri perikanan negara, selain mencerminkan komitmen UPM dalam memperkasakan penyelidikan berimpak tinggi yang memberikan manfaat kepada industri dan masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial