AM

Jambatan Gurney Di Pulau Andaman Diiktiraf "Jambatan Box Grider Terlebar Di Malaysia"

11/05/2026 08:06 PM

GEORGE TOWN, 11 Mei (Bernama) -- Eastern & Oriental Berhad (E&O) menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Jambatan Gurney di Pulau Andaman sebagai “Jambatan Box Grider Terlebar di Malaysia.” 

Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBOR Christopher Wong kepada Pengarah Urusan E&O Kok Tuck Cheong sempena majlis The Meg Appreciation Evening, yang turut disaksikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Pengerusi Eksekutif E&O Datuk Seri Tee Eng Ho.

Dalam satu kenyataan, E&O memaklumkan jambatan sepanjang 450 meter merentasi laut dan selebar 40 meter itu mempunyai lapan lorong kenderaan serta laluan pejalan kaki khas di kedua-dua sisi, menghubungkan Pulau Andaman dengan Gurney Drive, sekali gus meningkatkan keterhubungan pesisir pantai utara Pulau Pinang.

“Jambatan ini mempertingkat keterhubungan, menambah baik pengagihan aliran trafik, mengurangkan masa perjalanan serta menyediakan akses alternatif di kawasan pesisir pantai utara Pulau Pinang,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, Kok berkata pengiktirafan daripada MBOR merupakan pencapaian bermakna bagi kumpulan tersebut kerana Jambatan Gurney bukan sekadar titik penghubung, malah menjadi pemangkin utama kepada visi Pulau Andaman sebagai sebuah perbandaran bersepadu dan bersedia untuk masa hadapan.

“Jambatan ini bukan sahaja meningkatkan aksesibiliti dan keterhubungan, malah memainkan peranan penting dalam membentuk persekitaran tepian air yang dinamik bagi menyokong komuniti, mobiliti dan pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

Projek pembangunan Andaman yang sedang dijalankan itu bakal meliputi kawasan seluas kira-kira 307 hektar dan dirancang sebagai pulau bandar masa hadapan yang terletak di pesisir Gurney Bay dan Seri Tanjung Pinang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan