EKONOMI

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Tekanan Jualan Saat-Saat Akhir

11/05/2026 07:53 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Tekanan jualan saat-saat akhir mengheret Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin selepas merekodkan kenaikan awal, apabila pengambilan untung dalam saham perbankan dan pengangkutan berwajaran tinggi menjejaskan sentimen pasaran secara keseluruhan.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.75 mata kepada 1,745.31 daripada 1,748.06 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 5.94 mata lebih kukuh kepada 1,754.0 sebelum bergerak antara 1,744.99 hingga 1,754.0 sepanjang sesi dagangan.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 562 berbanding 558, manakala 636 kaunter tidak berubah, 897 kaunter tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.20 bilion unit bernilai RM3.17 bilion daripada 3.31 bilion unit bernilai RM3.00 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pasaran kekal waspada susulan tercetusnya ketegangan baharu di Asia Barat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menolak cadangan pelan damai terkini Iran, sekali lagi mendorong kenaikan harga minyak.

Beliau berkata harga minyak mentah yang tinggi serta ketidaktentuan geopolitik yang masih berlarutan dijangka terus mengekang sentimen pelabur dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, penurunan baru-baru ini dilihat lebih banyak didorong oleh aktiviti pengambilan untung berbanding penjualan yang agresif, katanya,

Beliau berkata oleh yang demikian, hal itu menunjukkan minat belian asas masih kekal utuh.

“Penyertaan pelabur asing yang berterusan dan sentimen serantau yang semakin baik dijangka terus menyokong pasaran tempatan, khususnya kaunter yang bersifat defensif dan mewah terpilih.

“Kami menjangkakan FBM KLCI didagangkan secara berhati-hati namun sederhana positif, dengan aktiviti pengumpulan saham secara terpilih mungkin muncul ketika pasaran lemah,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata meskipun saham mewah secara keseluruhannya rendah namun, minat belian dalam kaunter berkaitan infrastruktur, pembinaan dan perindustrian telah membantu mengehadkan penurunan seterusnya.

Beliau berkata bagi peringkat rantau, pasaran Asia ditutup bercampur-campur apabila pelabur terus waspada menjelang lawatan Trump ke China minggu ini.

Pasaran juga memantau rapat perkembangan yang berkemungkinan berkaitan rundingan perdagangan dan ketegangan geopolitik secara umum, katanya.

“Ketidaktentuan luaran dan peningkatan hasil bon global terus memberi tekanan kepada sentimen pelabur, walaupun sokongan institusi domestik dan optimisme terhadap sektor berkaitan infrastruktur membantu memberikan sedikit kestabilan kepada Bursa Malaysia meskipun indeks penanda aras mencatatkan penurunan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Press Metal meningkat 12 sen kepada RM8.80, YTL Corporation menambah enam sen kepada RM2.32, CIMB tidak berubah pada RM7.93, MRDIY turun satu sen kepada RM1.65 manakala Telekom Malaysia kurang dua sen kepada RM7.61.

Bagi saham paling aktif, Top Glove menokok 9.5 sen kepada 85.5 sen, Zetrix AI susut 1.5 sen kepada 85.5 sen, SMRT naik tujuh sen kepada 28 sen, Oppstar melonjak 30 sen kepada 68 sen dan VS Industry menambah 1.5 sen kepada 21 sen.

Antara saham paling untung, Dutch Lady melonjak 22 sen kepada RM33.02, KPJ Healthcare naik 13 sen kepada RM3.49, TT Vision menokok 12 sen kepada 33 sen, manakala Timberwell dan MI Technovation masing-masing menambah 11 sen kepada RM1.50 dan RM3.80.

Saham paling rugi termasuk Nestle yang susut RM1.40 kepada RM101.20, Petronas Dagangan turun 48 sen kepada RM20.58, United Plantations dan Hong Leong Bank masing-masing kurang 28 sen kepada RM30.52 dan RM22.34, manakala Hong Leong Industries susut 26 sen kepada RM18.90.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 1.36 mata kepada 12,931.60, Indeks FBMT 100 turun 1.58 mata kepada 12,770.95, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 5.83 mata kepada 12,844.14, Indeks FBM ACE Index menambah 64.48 mata kepada 4,675.80, manakala Indeks FBM Mid 70 Index melonjak 77.24 mata kepada 18,561.46.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 67.63 mata kepada 20,306.18, Indeks Perladangan kurang 0.33 mata kepada 8,838.08, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.11 mata kepada 195.76 manakala Indeks Tenaga susut 5.13 mata kepada 807.18.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.45 bilion unit bernilai RM2.80 bilion daripada 1.73 bilion unit bernilai RM2.72 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran sebanyak 1.05 bilion unit bernilai RM144.27 juta berbanding 1.18 bilion unit bernilai RM152.99 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula melonjak kepada 690.15 juta unit bernilai RM227.39 juta daripada 392.80 juta unit bernilai RM132.83 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 193.10 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (424.87 juta), pembinaan (196.03 juta), teknologi (467.92 juta), perkhidmatan kewangan (64.44 juta), hartanah (228.42 juta), perladangan (26.33 juta), amanah pelaburan hartanah (27.14 juta), dana tertutup (5,000), tenaga (131.90 juta), penjagaan kesihatan (469.27 juta), telekomunikasi dan media (118.79 juta), pengangkutan dan logistik (55.49 juta), utiliti (51.31 juta) serta amanah perniagaan (136,000).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan