IPOH, 6 Mei (Bernama) --Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan dua buah vesel serta lapan kru termasuk lima warga Myanmar dalam dua operasi berasingan di perairan Pulau Pangkor, berhampiran Lumut, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata tangkapan pertama melibatkan sebuah vesel pukat tunda kelas C yang ditahan pada 7.34 pagi pada kedudukan 1.9 batu nautika barat daya Pulau Buloh.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan lima kru warga Myanmar termasuk tekong yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Vesel itu disyaki menceroboh zon larangan iaitu kurang daripada 12 batu nautika dari pantai selain menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya merampas hasil laut kira-kira 400 kilogram (kg) ikan campur dengan nilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM3 juta.
Sementara itu dalam operasi berasingan, sebuah lagi vesel pukat tunda kelas B ditahan pada 12.40 tengah hari di kedudukan 5.7 batu nautika barat Pulau Pangkor.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan disyaki melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985.
“Vesel itu dikendalikan tiga kru termasuk tekong yang kesemuanya warga tempatan, selain turut menemui hasil tangkapan ikan campur dianggarkan seberat 100 kg dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM1.5 juta,” katanya.
Menurut beliau, semua kru, vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut daripada kedua-dua kes telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh dan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial