KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Sambutan ulang tahun ke-80 UMNO bukan sekadar detik memperingati sejarah panjang parti itu sejak 1946, sebaliknya menjadi titik penting dalam menentukan hala tuju masa depan, khususnya bagi tempoh dua dekad akan datang.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata signifikan lapan dekad perjalanan parti itu di pentas politik tanah air wajar dijadikan cerminan untuk terus memperkukuh perancangan strategik, termasuk melahirkan kepimpinan pelapis yang berwibawa demi memastikan kelangsungan dan kekuatan UMNO menjelang usia 100 tahun pada 2046.
“Ertinya, jadikanlah panduan daripada pengalaman selama 80 tahun ini untuk penyediaan agenda-agenda 20 tahun mendatang dan selepas 100 tahun UMNO wujud di persada politik tanah air,” katanya dalam temu bual khas sempena ulang tahun ke-80 UMNO baru-baru ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata antara perkara paling bermakna dalam sambutan UMNO kali ini ialah kejayaan menterjemahkan beberapa agenda besar yang menyentuh kepentingan pelbagai lapisan masyarakat.
“Satu ialah penterjemahan Rumah Bangsa, kedua ialah sambutan daripada NGO (badan bukan kerajaan), ahli-ahli profesional dan individu, pemimpin pendapat atau opinion leaders serta influencers dalam Musyawarah Nasional dan Kolaborasi Nasional.
“Seterusnya di pihak kerajaan, Kabinet telah bersetuju untuk meluluskan Majlis Perundingan Ummah untuk menterjemahkan semua agenda berkenaan dan ini adalah satu agenda nasional. Kita tahu bahawa jangan timbul perbezaan tentang pendirian dan pendapat mengenai agenda-agenda yang telah dipersetujui bersama,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika mengulas mengenai prestasi tidak memberangsangkan UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 berkata ketika itu parti berdepan dengan krisis kepercayaan yang serius.
“Dalam pemerhatian saya, hampir setiap 10 tahun UMNO mengalami krisis dan yang terakhir pada 2018 ini, ia bukan sekadar krisis tetapi krisis kemerosotan kepercayaan.
“Dalam tempoh 20 tahun mendatang, saya menegaskan bahawa kepimpinan pelapis harus diwujudkan dan saya mesti meletakkan asas yang kukuh sebelum barisan pelapis yang kuat dapat mengemudi UMNO untuk menuju 100 tahun pada 2046 nanti,” katanya.
Beliau berkata usaha memperkukuh semula parti dilakukan secara berperingkat dengan memberi tumpuan kepada penyatuan dalaman dan pengembalian sokongan akar umbi.
Ahmad Zahid menjelaskan pengubahan keadaan itu merangkumi pembaharuan struktur dalaman parti serta pelaksanaan beberapa inisiatif strategik berskala nasional.
“Saya tidak mengatakan UMNO itu telah kuat tetapi kita secara beransur-ansur menyusun beberapa program agar kita kembali seperti asal dan sokongan orang Melayu, terutamanya menjadi asas kepada pengukuhan semula UMNO ini,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dilaporkan berkata jumlah ahli UMNO kini merekodkan sebanyak 3.525 juta setakat Januari lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial