| BERITA TERGEMPAR | Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | |
KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Golongan belia disaran supaya berani meneroka bidang ekonomi digital dan teknologi masa depan termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan mereka kekal berdaya saing dalam dunia yang semakin mencabar dan kompleks.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata penguasaan dalam bidang inovasi dan teknologi menjadi keperluan penting untuk generasi muda menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran kerja semasa.
“Belia masa kini perlu berani melangkah ke hadapan dalam bidang ekonomi digital, keusahawanan, inovasi sosial, kepimpinan komuniti serta teknologi masa depan.
“Negara memerlukan anak muda yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan kemahiran tetapi juga mempunyai nilai, akhlak dan semangat cintakan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Program Semarak Belia @ Hari Belia Negara (SB @ HBN) 2026 Peringkat Kawasan Cheras dan Bandar Tun Razak, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Sabran Abdil Bahar dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.
Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri berkata meskipun berdepan pelbagai isu global seperti kos sara hidup dan kesihatan mental, beliau yakin belia Malaysia mempunyai daya tahan dan kreativiti yang tinggi untuk mencari penyelesaian kepada setiap permasalahan tersebut.
Beliau berkata kerajaan melalui pelbagai inisiatif akan terus memberi fokus kepada pembangunan belia khususnya dalam bidang keusahawanan dan kepimpinan bagi melahirkan generasi muda yang progresif.
“Gunakanlah tenaga, idea dan potensi yang ada untuk membawa manfaat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berharap golongan belia dapat menjadi ejen penyatuan masyarakat yang matang dan berintegriti untuk memimpin masa depan Malaysia MADANI.
Program SB @ HBN 2026 yang berlangsung hari ini melibatkan kira-kira 500 peserta, bertujuan menyediakan platform bagi golongan belia meningkatkan kemahiran kepimpinan serta membina jaringan strategik dalam komuniti setempat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial