KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Maxis Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi iaitu RM417 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2026 (suku pertama 2026) daripada RM371 juta yang direkodkan pada suku pertama 2025.
Perolehan juga meningkat kepada RM2.73 bilion daripada RM2.61 bilion sebelumnya, dipacu oleh perolehan perkhidmatan yang lebih tinggi yang meningkat sebanyak RM71 juta kepada RM2.24 bilion, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Maxis memaklumkan, bagi perolehan perkhidmatan, segmen perniagaan pengguna berkembang 2.8 peratus kepada RM1.82 bilion.
Pertumbuhan ini dipacu oleh pendekatan pengambilan pelanggan secara bersegmen dalam perniagaan mudah alih yang berjaya meningkatkan jumlah pelanggan pascabayar sebanyak 5.7 peratus kepada 4.2 juta.
Mengenai prospek, Maxis menyatakan ia kekal memberi tumpuan untuk memacu pertumbuhan jangka panjang yang mampan di tengah-tengah landskap telekomunikasi yang sangat kompetitif dengan mempertingkat kecekapan operasi serta menambah baik pengalaman pelanggan melalui inovasi perkhidmatan dan prestasi rangkaian yang boleh dipercayai.
Syarikat itu memaklumkan keutamaan 2026 kekal untuk berada di landasan yang betul bagi memperkukuh pengekalan pelanggan melalui penawaran pakej strategik dan memperluas perniagaan perusahaannya melangkaui perkhidmatan ketersambungan.
Selain itu, syarikat mahu mengembangkan infrastruktur rangkaian dan perniagaan borong bagi memenuhi permintaan masa hadapan.
Kumpulan itu menyatakan bahawa ia juga berhasrat untuk memanfaatkan pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) bagi mempertingkat pengalaman pelanggan serta kecekapan operasi selain memupuk budaya berprestasi tinggi yang berpaksikan akauntabiliti, pelaksanaan dan keberhasilan.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng berkata prestasi suku pertama kumpulan yang aktif mencerminkan pelaksanaan strateginya yang jelas.
"Pendekatan berdisiplin kami terus membuahkan hasil yang positif sekali gus menterjemahkan pertumbuhan perolehan yang stabil kepada keuntungan yang lebih pantas," katanya.
Beliau berkata, sebagai pengiktirafan terhadap prestasi yang kukuh, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen sebanyak empat sen sesaham yang mencerminkan tumpuan berterusan kumpulan terhadap pengekalan pembayaran dividen yang stabil.
Goh berkata, berlandaskan permulaan yang menggalakkan bagi tahun kewangan 2026, kumpulan akan mengekalkan panduan tahun penuhnya iaitu pertumbuhan satu digit yang rendah bagi hasil perkhidmatan serta perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dengan intensiti perbelanjaan modal diunjurkan di antara 10 hingga 12 peratus.
"Maxis kekal fokus untuk memberi pertumbuhan yang mampan dan nilai jangka panjang kepada para pelanggan serta pemegang saham kami," tambah beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial