SEREMBAN, 14 Jan (Bernama) -- Tunku Kecil Muda Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin mendahului senarai 532 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kerajaan Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Ke-78 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini.
Beliau yang juga Penyelia Adat Istiadat Istana Besar Seri Menanti itu dianugerahkan Darjah Seri Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Terbilang (SSTM) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi pula dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang turut membawa gelaran Datuk Seri.
Enam individu pula dianugerahkan Darjah Dato' Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk iaitu Hakim Utama Mahkamah Tinggi Seremban Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Faizal Ramli dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Sufian Jusoh.
Selain itu, Pakar Perunding Ortopedik Hospital Tuanku Ja’afar Dr Abdul Muttalib Abdul Wahid, Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Pahlawan Mohamad Azuwan Harun serta Peguam dan Rakan Kongsi Kanan Firma Mohamed Ridza & Co Mohamed Ridza Mohamed Abdulla.
Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM) yang turut membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada Penghulu Luak Jempol Mazri Mansol, Peguam dan Rakan Kongsi Firma Guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS) S. Saravana Kumar, Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional Berhad Suhana Dewi Selamat dan Pakar Neurologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM Prof Madya Dr Wan Asyraf Wan Zaidi.
Sementara itu, 20 penerima dianugerahkan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang membawa gelaran Datuk termasuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), iaitu ADUN Seremban Jaya P. Gunasekaren, Dr G. Rajasekaran (Sri Tanjung) dan Yew Boon Lye (Chuah).
Turut menerima anugerah sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Mohd Asri Abdullah dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Muhammad Idzam Jaafar.
Tuanku Muhriz turut berkenan mengurniakan Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) kepada 12 penerima, Darjah Tuanku Muhriz (DTM) (satu), Darjah Pekerti Terpilih (DPT) (24) dan Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) (71) serta Setiawan Tuanku Muhriz (STM) (satu).
Dalam pada itu, 147 individu dianugerahkan Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pula dianugerahkan kepada 229 penerima termasuk wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nursyabiha Sukri.
Pingat Bentara Tuanku Muhriz (BTM) pula dianugerahkan kepada lapan penerima manakala Pingat Khidmat Lama (PKL) (tujuh).
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti dekat sini hari ini bagi sesi pertama manakala sesi kedua dijadualkan pada 20 Jan dan sesi ketiga 27 Jan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial