AM

Istiadat Menghadap Menjunjung Duli Kejadian Undang Luak Sungei Ujong Diadakan Esok

26/06/2026 02:14 PM

KUALA PILAH, 26 Jun (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan mengadakan Istiadat Menghadap Menjunjung Duli Bagi Menyempurnakan Kejadian Undang Luak Sungei Ujong di Istana Besar Seri Menanti, esok.

Titah baginda disampaikan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz ketika berkenan menerima menghadap Datuk-Datuk Adat Luak Sungei Ujong, waris soko dan rombongan dalam istiadat di Istana Besar Seri Menanti di sini, hari ini.

“Saya mendengar tujuan menghadap dan sembah maklum daripada Waris Negeri Sungei Ujong Datuk Sinda Maharaja Razlan Hamid yang mewakili luak bahawa pemilihan penyandang Pesaka Undang Luak Sungei Ujong dilaksanakan mengikut adat terpakai serta diamalkan dalam Luak Sungei Ujong.

"Saya ingin sampaikan titah perkenan Ayahanda saya Tuanku Muhriz yang berkenan mengadakan Istiadat Menghadap Menjunjung Duli Bagi Menyempurnakan Kejadian Undang Luak Sungei Ujong pada pagi Sabtu ini,” titah baginda.

Dalam pada itu, Razlan ketika ditemui media selepas itu berkata istiadat kerapatan buapak memilih Muhammad Faris Johari, 29, sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 mengikut aturan adat yang ditetapkan.

Sebelum ini, Dewan Keadilan dan Undang menerima pemberhentian Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang pesaka Undang Luak Sungei Ujong ke-10.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata keputusan itu dibuat susulan sidang khas yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, yang dipengerusikan Tuanku Muhriz.

Selain Undang Luak Sungei Ujong, Istiadat Mengadap Menjunjung Duli Bagi Menyempurnakan Kejadian Undang Luak Rembau yang ke-22 juga turut diadakan esok selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan