KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Rollti, sebuah syarikat makanan tempatan yang mengkhusus dalam menyajikan roti canai dengan pelbagai inti unik berkonsepkan citarasa Malaysia, memperoleh empat sijil halal baru-baru ini dalam tempoh kurang enam bulan.
Pengarah dan Pengasas Rollti Fred Chan berkata pensijilan itu menjadikan lima daripada enam cawangan kini secara rasmi disahkan halal.
Beliau berkata pensijilan halal ialah keutamaan syarikat berkenaan bagi membolehkan jenama itu menyajikan hidangan kepada penduduk Islam di negara ini dan ia akan memastikan aspek rantaian bekalan dan amalan di dapur sentiasa mematuhi standard halal.
"Hal ini termasuk mendapatkan bahan mentah yang disahkan halal, pelabelan yang betul dan amalan petugas termasuk memastikan sekurang-kurangnya dua pekerja Muslim berada di setiap cawangan yang disahkan halal.
"Kami juga melakukan audit halal secara berkala setiap suku tahun untuk memastikan kami mematuhi standard halal di Malaysia, dan semestinya piawaian halal di negara ini amat tinggi, jadi kami perlu mematuhinya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di cawangan Rollti di sebuah pusat beli-belah, di sini hari ini.
Beliau berkata Rollti merancang untuk memohon sijil halal bagi cawangan antarabangsa di Gandaria City Mall di Jakarta, Indonesia dan Republic Plaza di Singapura, yang bakal dilancarkan masing-masing pada pertengahan Ogos dan November ini.
Memandangkan roti canai ialah asas kepada produk Rollti dan sebahagian daripada warisan Malaysia, Chan berkata syarikat itu berhasrat mengekalkan penjenamaan yang betul termasuk mencapai visi dan misi jelas ke luar negara melalui pematuhan halal.
"Terdapat ramai golongan muda di kedua-dua lokasi berkenaan, pastinya mereka mencarikan sesuatu yang pantas, mudah dan unik – seperti gulungan roti canai – yang jarang dijumpai, terutamanya di Jakarta. Jadi, kami mengambil langkah berani dan berkembang ke negara baharu," katanya.
Sementara di Malaysia, syarikat itu turut merancang untuk memperluas operasi, khususnya di Lembah Klang dan Johor, namun memberi lebih tumpuan kepada pengembangan di luar negara kerana mereka menerima sokongan daripada kerajaan melalui pelbagai geran.
Bersempena dengan musim durian yang sedang rancak di rantau ini, Rollti melancarkan menu waktu terhad yang menggabungkan pes durian dengan roti canai, membolehkan pelanggan menikmati roti canai berintikan aiskrim durian, yang ditawarkan hingga hujung Julai ini.
"Apabila anda menggigit bahagian dalam roti dengan inti aiskrim dan pes durian, rasanya sungguh luar biasa. Kami mahu menunjukkan bahawa ia jenama Malaysia, sesuatu yang benar-benar Malaysia.
"Ia belum pernah dilakukan di tempat lain. Saya rasa kami satu-satunya di Malaysia yang membuat promosi sebegini, menggabungkan durian dengan roti canai," katanya.
Jenama itu turut mengetengahkan budaya Malaysia dengan penggunaan nama menu dalam bahasa Melayu seperti "Rindu Rendang" dan "Sate Puas", yang akan dikekalkan di cawangan luar negara untuk menampilkan warisan Malaysia.
Selain menu musim durian yang terhad, syarikat itu juga menyertai trend semasa dengan memperkenalkan blind box yang mengandungi anak patung kecil berbentuk bahan ramuan mereka seperti pisang, cendawan, cili, telur, dan pisang untuk menarik minat golongan muda.
Dalam pada itu, Penyelaras Halal Rollti Nur Assyafa Muhamad Aini berkata pasukan itu membangunkan sistem dalaman yang kukuh termasuk kebolehkesanan bahan sepenuhnya, dokumentasi menyeluruh, dan penyimpanan rekod serta latihan kesedaran halal secara berkala untuk petugas.
"Kami juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memastikan kami sentiasa mengikuti garis panduan dan keperluan halal terkini.
"Kami berjaya mendapatkan empat cawangan, iaitu Pavilion Elite Kuala Lumpur, Sunway Pyramid, Elmina Lakeside, dan Bloomsvale Shopping Gallery, sijil halal dalam masa kurang enam bulan, dari Januari hingga Mei 2025 manakala cawangan di NU Sentral telah mendapat sijil halal pada Ogos tahun lepas," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial