KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Maxis, penyedia penyelesaian bersepadu terkemuka di Malaysia, memperkukuh komitmen kelestariannya dengan mempergiat usaha pengurangan pelepasan karbon dan memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia.
Menurut Maxis, matlamat syarikat itu adalah untuk menyepadukan faedah alam sekitar menerusi peningkatan infrastruktur rangkaian dan operasi sambil memudahkan akses kepada tenaga hijau untuk pengguna.
Maxis mempunyai kelebihan strategik dalam memudahkan akses kepada tenaga hijau untuk pengguna di seluruh Semenanjung Malaysia melalui penyelesaian Maxis Home Solar dengan asas pelanggan seramai 10.4 juta pengguna dan 780,000 kediaman.
“Dengan menawarkan sokongan pelanggan yang komprehensif dan bayaran pendahuluan rendah, Maxis memudahkan usaha pengguna untuk mengurangkan jejak karbon, menyokong pembangunan mampan dan sekali gus menikmati penjimatan kos tenaga,” menurut Maxis dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Selaras pematuhan ISO 14001, Maxis mengoptimumkan penggunaan tenaga dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) melalui strategi pengurangan tahunan dan sejak 2023, syarikat itu telah mengintegrasikan kenderaan elektrik (EV) dalam operasi lapangan bagi menyokong penggunaan tenaga bersih serta pengurangan pelepasan karbon.
Selain itu, Maxis turut meningkatkan penggunaan tenaga solar termasuk pemasangan stesen pengecasan EV di tujuh Pusat Operasi Teknikal (TOC) serta mengurangkan kebergantungan terhadap penjana diesel berikutan pelaksanaan sistem solar luar grid di stesen pangkalan luar bandar di Semenanjung dan Malaysia Timur.
"Maxis telah mempertingkatkan kecekapan tenaga di stesen pangkalan dan TOC menerusi penggantian peralatan dan sistem lama dengan peralatan yang dikemas kini dan diperbaharui.
"Dengan pelaksanaan teknologi Rangkaian Kendiri Berpusat (C-SON) yang berupaya dalam pengurusan pintar dan pengoptimuman automatik rangkaian, peralatan tidak digunakan boleh dimatikan manakala penyearah berkecekapan tinggi mampu mengurangkan pembaziran tenaga dan haba," menurut kenyataan itu.
Menurut Maxis penyahaktifan peralatan lama dan penyatuan rangkaian teras menjimatkan ruang serta mengurangkan penggunaan tenaga di pusat data serta loji kuasa dan hasilnya, penggunaan tenaga di tapak rangkaian hanya meningkat 0.25 peratus walaupun tapak rangkaian berkembang sekali gus mengurangkan intensiti pelepasan.
Selain itu, Maxis terus menaik taraf kemudahan pejabat bagi mengurangkan pelepasan termasuk pemasangan lampu LED dan peningkatan kabel yang membolehkan syarikat mengurangkan pelepasan sebanyak lapan peratus tahun ke tahun (YoY) pada 2024 di samping subsidi pengangkutan awam untuk pekerja.
"Inisiatif kelestarian Maxis mencerminkan komitmennya yang berterusan dalam mencipta nilai mampan. Melihat ke hadapan, Maxis kekal berdedikasi untuk menangani perubahan iklim melalui inisiatif berterusan dalam membina masa hadapan yang lestari dan kukuh untuk semua," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Maxis Green Solutions dan Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Transformasi Maxis Patrick Er berkata menguruskan jejak alam sekitar dan meningkatkan kecekapan operasi adalah penting dalam kelestarian jangka panjang syarikat yang telah beroperasi selama 29 tahun itu.
Katanya selain mitigasi risiko, langkah tersebut turut menambah nilai untuk pelanggan dan pihak berkepentingan.
"Dengan inisiatif solar untuk pelanggan dan operasi syarikat, kami menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui tersedia menjelang tahun 2050,” katanya dalam kenyataan sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial