PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan salah guna wang kira-kira RM12 juta yang dipercayai ada kaitan dengan dua kes melibatkan syarikat penyedia penyelesaian minyak dan gas Sapura Energy Berhad.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata bagi kes pertama, seramai 15 saksi telah dirakam keterangan namun setakat ini, tiada tangkapan dilakukan.
Beliau berkata SPRM turut membekukan aset atau harta milik pengarah Sapura Petroleum dan keluarganya termasuk dua kediaman mewah bernilai RM5.5 juta yang dimiliki oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan.
“Dalam kes pertama ini, siasatan masih dijalankan dan kita sedang mengesan sama ada wang RM12 juta itu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Azam berkata kes tersebut berlaku pada 2018 iaitu ketika Permodalan Nasional Berhad (PNB) membuat suntikan dana ke dalam Sapura Energy, menjadikan ia sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“... maka sekiranya terdapat sebarang salah guna wang, ia akan jatuh di bawah akta kami iaitu Seksyen 23 Akta SPRM atau kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan,” katanya.
Azam berkata kes kedua pula melibatkan dakwaan pembayaran rasuah oleh pihak luar negara kepada seorang CEO pada tahun 2011 bagi tujuan mendapatkan projek milik Sapura Energy.
“Berhubung dengan rasuah wang, ia melibatkan USD3.3 juta… ketika itu syarikat Sapura Crest namanya di bawah Sapura Energy, telah memberi satu kontrak, subkontrak kepada satu syarikat asing di Brazil... kemudian wang itu telah dibayar oleh ejen melalui sebuah negara dari Netherlands dan disalurkan di Singapura dan sebagainya,” kata beliau.
Beliau berkata SPRM perlu mengemukakan pelbagai permohonan menggunakan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan negara terbabit bagi mendapatkan keterangan lanjut.
“Jadi bagi kes kedua ini, saya jangka mengambil sedikit masa yang panjang kerana sudah tentu ia melibatkan perundangan luar negara.
"Kita perlu membekalkan banyak lagi maklumat kepada mereka dan daripada situ juga, bila mendapat maklumat, maka kita akan terus menjalankan siasatan di negara kita,” katanya.
Pada Mac lepas, SPRM telah membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan pembayaran rasuah dan penyelewengan membabitkan Sapura Energy Berhad.
Siasatan dibuat berdasarkan hasil siasatan awal agensi antirasuah itu pada akhir tahun 2023 yang melibatkan tuntutan-tuntutan membabitkan syarikat berkenaan.
SPRM memaklumkan kedua-dua kertas siasatan dibuka bagi menyiasat kegiatan pengubahan wang haram dan penyelewengan sekitar tahun 2018 ketika syarikat itu dikenali sebagai Sapura Kencana Petroleum Berhad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial