POLITIK

PRN SABAH: TIADA KEPERLUAN TANDING DUN, FOKUS TUGAS MENTERI DAN AHLI PARLIMEN - ARMIZAN

10/05/2024 06:39 PM

PAPAR, 10 Mei (Bernama) -- Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd Ali berkata tidak ada keperluan untuk beliau bertanding mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Papar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata tumpuan beliau ketika ini ialah menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Papar sekali gus menjalankan tugas selaku menteri di peringkat Persekutuan.

"Saya gembira sebagai Ahli Parlimen dan sekarang ini diamanahkan sebagai menteri Persekutuan. Dengan kekangan masa, saya fikir saya tumpukan kepada tugas sebagai Ahli Parlimen dan menteri Persekutuan.

“Saya gembira sekiranya dibantu oleh tiga ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Papar)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian cawangan baharu Co-opBank Pertama di sini yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick hari ini.

Terdapat tiga DUN di bawah Parlimen Papar iaitu Kawang, Pantai Manis dan Limbahau.

Ewon, yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), ketika ditanya mengenai persediaan partinya menghadapi PRN Sabah akan datang, berkata semua bahagian telah diminta turun ke lapangan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Beliau berkata pihaknya juga bekerjasama dengan rakan komponen dalam GRS menganjurkan konvensyen untuk memberi mesej tersirat kepada rakyat Sabah bahawa Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri mesti dipertahan serta dikekalkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan