AM

LIBATKAN DIRI DALAM KEUSAHAWANAN SATU BENTUK PATRIOTISME YANG TINGGI - EWON

19/05/2024 06:37 PM

PENAMPANG, 19 Mei (Bernama) -- Menceburi bidang perniagaan dan koperasi merupakan satu bentuk patriotisme yang tinggi, menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata berbanding hanya meluahkan semangat patriotik dengan kata-kata, penglibatan dalam aktiviti perniagaan dan koperasi dapat membantu meningkatkan tahap ekonomi rakyat dan negara.

“Apabila terlibat dalam aktiviti ekonomi, rakyat boleh menyumbang kepada ekonomi negara dengan memberi pekerjaan, menambah pelaburan dan memberi bantuan kepada penduduk setempat di kawasan masing-masing seterusnya membantu membangunkan negara,” katanya.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Sabah anjuran Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah Salmah Hashim.

Ewon berkata kerajaan mempunyai dasar terkait pembangunan keusahawanan serta menyediakan pelbagai skim dan inisiatif untuk membantu rakyat dalam gerakan keusahawanan.

Sementara itu beliau berkata Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 bermatlamat meningkatkan kesedaran serta memupuk semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Saya menyeru agar kita dengan hati yang ikhlas secara bersama berusaha menyemarakkan rasa cinta kepada negara dalam meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Saya juga menyeru rakyat menjadikan Rukun Negara sebagai asas ekspresi patriotisme atau semangat cintakan negara,” katanya.

Menurutnya perpaduan, keharmonian dan toleransi antara kaum penting untuk dipupuk dalam jiwa setiap rakyat di negara ini bagi menggerakkan negara ini ke arah yang lebih baik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan