AM

Program Kembara Komuniti Bantu Petani Dalami Teknologi Vermikompos

21/05/2024 09:18 AM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi agensinya Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) hari ini melancarkan Program Kembara Komuniti: ‘Kecilkan Jejak, Besarkan Impak’.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata program ini bertujuan menggalakkan penggunaan dan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan petani.

Beliau berkata ia juga membuktikan STI mudah diterapkan dalam kehidupan seharian, selari prinsip ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi, Mengarusperdanakan Inovasi’, selain membimbing peserta menambah baik kualiti hasil tanaman menggunakan baja vermikompos.

“Dengan menguasai teknik vermikompos menggunakan cacing tanah ‘African nightcrawler’, peserta mampu menghasilkan tanaman seperti durian, avocado, sayuran dan kacang panjang berkualiti tinggi yang lebih berdaya tahan terhadap penyakit dan serangan serangga.

“Peserta juga berpotensi untuk menjana pendapatan bersih RM5,200 sebulan berdasarkan penjualan 2,000kg baja vermikompos,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Program bertemakan ‘Ada Sisa, Jadi Bisnes Bah!’ ini akan melibatkan kumpulan pertama 30 petani dari Kampung Melangkap Kapa dan Kampung Tanginambur di bawah Pertubuhan Peladang Kota Belud, Sabah yang akan dibawa menjalani kursus latihan enam bulan bagi mendalami kemahiran kitar semula sisa pertanian untuk dijadikan baja menggunakan teknologi vermikompos. 

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata program itu merupakan komitmen Bioeconomy Corporation yang menyatukan pihak kerajaan, industri dan akademia dalam mempromosikan penggunaan teknologi berasaskan bio.

“Melalui teknologi vermikompos petani dapat mengitar semula bahan buangan pertanian dan menghasilkan baja berasaskan bio dalam masa 30 hingga 60 hari, berbanding 180 hari atau lebih dengan kaedah pengomposan konvensional.

“Vermikompos yang menggabungkan peranan cacing dan mikroorganisma pengurai menawarkan proses lebih cepat dan efisien berbanding kaedah tradisional yang hanya bergantung kepada mikroorganisma. Mereka bakal memperoleh lebih kurang 2,000 kilogram (kg) baja daripada 2,200 kg sisa pertanian,” katanya.

Beliau berkata ini membantu mereka untuk meningkatkan produktiviti pertanian, mengurangkan kos pengeluaran dan mewujudkan amalan pertanian dan sumber ekonomi di Sabah yang lebih lestari serta memenuhi matlamat bioekonomi untuk semua.

“Petani juga akan diberikan sokongan dan akses kepada pasaran yang lebih luas, pengaturan jualan bersama, dan latihan pengelolaan perniagaan serta pemasaran untuk memastikan kelestarian aktiviti pertanian mereka,” katanya.

Program Kembara Komuniti itu dijalankan dengan kerjasama Bioxpert Sdn Bhd (Bioxpert), pengeluar produk baja vermikompos organik selaku penyedia teknologi, serta Universiti Malaysia Sabah untuk memudahkan pertukaran ilmu dan pemindahan teknologi antara pelajar, pakar industri dan Bioeconomy Corporation selaku pemacu industri.

Bioxpert merupakan syarikat berasaskan bio yang diberikan fasilitasi oleh Bioeconomy Corporation di bawah program Program Pembangunan Produk 3.0.

Berpusat di Kampung Ratau, Sabah, syarikat ini menyediakan akses teknologi, pasaran, dan sumber daya lain kepada peserta program Komuniti Kembara ‘Ada Sisa, Jadi Bisnes Bah!’,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan