AM

CUBA ELAK SEKATAN POLIS, DUA MAUT AKIBAT MOTOSIKAL BERTEMBUNG

20/05/2024 10:39 PM

SANDAKAN, 20 Mei (Bernama) -- Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka bertembung ketika cuba melarikan diri dari sekatan Operasi Samseng Jalanan di Batu 16, Jalan Kuari 3, Gum Gum di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata, dalam kejadian 5.30 petang itu, dua yang maut berumur 22 tahun dan seorang yang cedera parah berumur 24 tahun itu sebelum kejadian dipercayai berlumba haram.

"Semasa operasi sedang dijalankan, terdapat sekumpulan motosikal cuba melarikan diri dan akibat itu, tiga motosikal bertembung sesama sendiri sehingga berlakunya kemalangan maut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam pada itu, Abdul Fuad berkata, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bermula jam 3 petang hingga 2 pagi tadi turut menyita 60 motosikal serta 16 kereta atas pelbagai kesalahan.

"Hasil operasi itu, sebanyak 105 kenderaan iaitu 30 kereta dan 75 motosikal telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, 31 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya ubah suai ekzos, tiada lesen memandu termasuk tiada perlindungan insuran," katanya.

Menurutnya lagi, pemeriksaan turut dijalankan ke atas 115 lelaki serta 12 wanita dan hasil pemeriksaan berkenaan, lima individu disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana didapati positif dadah jenis ketamin dan ganja.

Abdul Fuad berkata Operasi Samseng Jalanan itu akan diteruskan bagi memastikan aktiviti lumba haram dan menguji kelajuan di atas jalan raya dapat ditangani demi kesejahteraan orang awam.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan