AM

KERAJAAN SENTIASA DENGAR KELUHAN PEKERJA BANTU BENTUK MASA DEPAN MALAYSIA YANG BAIK - TPM

01/05/2024 12:52 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata setiap pekerja mempunyai peranan tersendiri dalam membangun dan memakmurkan negara ini. 

Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut mengingatkan kepentingan untuk memberikan yang terbaik dalam setiap pekerjaan yang dilakukan bagi memperoleh kejayaan. 

"Kita semua adalah pekerja. Setiap daripada kita mempunyai peranan tersendiri dalam membangun dan memakmurkan negara ini. 

"Walau apa jua sektor yang diceburi, sama ada di pejabat, kilang, ladang, perkhidmatan masyarakat atau di mana-mana sahaja, jika kita memberikan komitmen dan berusaha menjadi yang terbaik dalam bidang pekerjaan masing-masing, saya yakin negara ini akan terus bergerak maju menuju masa hadapan yang lebih cerah," katanya. 

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata setiap tahun pada 1 Mei, Malaysia dan seluruh dunia akan meraikan Hari Pekerja dan sambutan ini bagi meraikan semangat, kerja keras, dedikasi dan sumbangan tidak ternilai oleh setiap pekerja di seluruh negara.

“Pekerja merupakan tiang utama kemajuan negara dan hari ini, kita menghargai segala usaha mereka yang telah membentuk masa depan Malaysia yang lebih baik,” kata Ahmad Zahid.

Sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat kebangsaan dengan tema 'Pekerja Kesuma Bangsa' berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pula berkata Kerajaan sentiasa mendengar denyut nadi, luahan, aduan dan cadangan pekerja di Malaysia untuk apa juga langkah penambahbaikan.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kerajaan akan terus komited untuk meneliti dasar bagi membantu pekerja yang banyak menyumbang kepada negara. 

Menurutnya ini menunjukkan kerajaan memahami keluhan masyarakat berhubung kadar pendapatan, termasuklah had gaji minimum, jaminan pekerjaan dan penelitian Akta Kerja 1955 bagi penyesuaian semasa, perlindungan sosial dan sebagainya. 

"Saya juga menyeru kepada semua pekerja agar sentiasa meningkatkan prestasi, ikhlas melaksanakan tugas kerana pekerjaan juga merupakan sebahagian daripada ibadah (dan) seterusnya berikanlah yang sehabis baik untuk keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. 

"Marilah kita semua terus istiqamah, bersungguh-sungguh dan sabar dalam menunaikan setiap tanggungjawab yang telah diamanahkah," katanya menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Pekerja hari ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan