AM

AHMAD ZAHID LAWAT CHINA DARI 22 MEI - 1 JUN

21/05/2024 03:59 PM

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan rasmi ke China dari 22 Mei hingga 1 Jun atas jemputan Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Kementerian Luar  (Wisma Putra) mengumumkan bahawa ini adalah lawatan rasmi pertama Ahmad Zahid ke China sejak beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022.

Wisma Putra berkata Timbalan Perdana Menteri akan diiringi oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.

"Semasa lawatannya, Timbalan Perdana Menteri dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Li Qiang.

Untuk memperkukuh hubungan dua hala, Timbalan Perdana Menteri dijangka meneroka peluang kerjasama, terutamanya dalam bidang pendidikan, dengan fokus kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan industri halal serta pertukaran antara rakyat. Kedua-dua pihak juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama," katanya. 

Menurut Wisma Putra, semasa di Beijing, Ahmad Zahid juga akan mengadakan perbincangan dengan Xuexiang dan Penasihat Negara serta Menteri Keselamatan Awam Wang Xiaohong.

Bagi meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-PRC, Timbalan Perdana Menteri akan menjadi tuan rumah Majlis Resepsi Gala dan menghadiri Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik Malaysia-China, yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Asing (CPAFFC)  Persatuan Rakyat China  dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri juga akan menyaksikan majlis menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dan China dalam bidang teknologi tinggi dan pendidikan, serta berinteraksi dengan komuniti Malaysia di China sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan Malaysia MADANI.

Wisma Putra berkata sementara di Hong Kong, Ahmad Zahid akan bertemu dengan John Lee Ka-chiu,  Ketua Eksekutif dari Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR).

Lawatan rasmi ini merupakan sebahagian daripada pertukaran lawatan peringkat tinggi yang dijadualkan tahun ini bagi memperingati 50 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara, katanya.

Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein, mencipta sejarah sebagai pemimpin ASEAN pertama yang mengadakan hubungan diplomatik rasmi dengan China dengan menandatangani Kenyataan Bersama dengan Perdana Menteri Chou En-lai pada 31 Mei 1974.

Langkah berani ini meletakkan asas bagi perkongsian kukuh, yang kemudiannya ditingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada tahun 2013, yang memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.

Selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009, China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia di peringkat global.

Pada 2023, jumlah dagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (US$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia.

Pada 2023, sejumlah 64 projek perkilangan telah diluluskan, dengan pelaburan berjumlah RM12 bilion (US$2.6 bilion).

China menduduki tempat kelima sebagai pelabur terbesar dan projek-projek ini dijangka mewujudkan 9,305 pekerjaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan