AM

FORUM AIR DUNIA KE-10 SERU BANK DUNIA, PBB SEDIA DANA UNTUK NEGARA MEMBANGUN

21/05/2024 05:30 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

BALI, 21 Mei (Bernama) -- Mesyuarat kepimpinan tertinggi di Forum Air Dunia ke-10 menyeru Bank Dunia atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar menyediakan dana kepada negara-negara membangun untuk memastikan bekalan air terjamin dan bersih agar dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat dan sektor, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air  berkata forum turut menekankan bantuan dari segi sokongan teknikal merangkumi teknologi moden, bahan baharu dan kaedah terkini dalam menangani risikonya.

“Air ini kalau terlalu banyak mendedahkan risiko kalau tiada air juga akan menjadi bencana dan bagaimana kita hendak mengimbangi perkara ini,” katanya kepada media Malaysia di forum yang berakhir hari ini.

Menurut Fadillah, mesyuarat turut menekankan perkongsian maklumat, kepakaran dan pembinaan keupayaan khususnya di negara membangun, kepentingan pengurusan risiko bencana dan pelan penyesuaian terhadap perubahan iklim yang selari dengan komitmen Malaysia.

Semua negara yang terlibat juga akan mencari bagaimana untuk bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan golongan muda dalam menyampaikan maklumat mengenai kepentingan menjaga serta penjagaan dan pengurusan sumber air rentas sempadan negara dan negeri.

Beliau menegaskan sokongan negara-negara di seluruh dunia penting  terutamanya negara-negara maju serta agensi antarabangsa dalam mencari kaedah untuk menyelesaikan sebarang isu air yang timbul.

“Komitmen untuk melindungi dan menyelenggara air ini bukanlah murah kerana memerlukan jumlah dana yang sangat besar.

Contohnya negara kita, untuk tangani air bukan hasil memerlukan RM3 bilion bagi menggantikan paip lama, belum lagi tebatan banjir berjumlah RM11.4 billion dari 2025 hingga 2030 yang akan dibiayai secara rancangan boleh pinda setiap tahun.

“Kerajaan negeri juga perlu loji air baharu untuk menampung peningkatan penduduk dan penggunaan air susulan perniagaan yang semakin berkembang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan