AM

Garis Panduan Penapisan Filem Baharu Diperkenal, Pastikan Filem Negara Lebih Berkualiti

20/05/2024 12:14 PM

PUTRAJAYA, 20 Mei (Bernama) -- Garis Panduan Penapisan Filem baharu diperkenalkan hari ini bagi memastikan penggiat seni hasilkan karya berkualiti dan mempunyai nilai estetika tanpa menyentuh perkara sensitif libatkan masyarakat negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tiga teras utama diterapkan dalam garis panduan baharu penapisan filem iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan serta moral dan sosiobudaya. 

Katanya, garis panduan yang menggantikan garis panduan lama pada 2010 perlu pastikan perkara disepakati dalam Perlembagaan meliputi soal Islam sebagai agama Persekutuan, peranan institusi raja dan bahasa tidak dipertikai dalam kandungan filem. 

“Hasrat sebenar Lembaga Penapis Filem (LPF) adalah meminimakan arahan penggubahan agar tidak jejas nilai estetika sesebuah karya.

“Kita benarkan kreativiti penggiat seni dan dalam proses ini, tentunya garis panduan ditambah baik dari terdahulu,” katanya ketika berucap melancarkan Garis Panduan Penapisan Filem baharu di sini hari ini.

Beliau berkata garis panduan baharu itu telah mendapat input daripada pelbagai pihak, antaranya pemain industri, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Garis panduan baharu ini telah ditambah baik dari yang terdahulu dan ini bukan keputusan unilateral, proses libat urus itu dibuat dengan semua peringkat pemegang taruh industri perfileman tempatan,” katanya.

Sementara itu Saifuddin berkata, penggiat seni perlu bekerjasama dengan LPF dan menganggapnya sebagai rakan kerana mereka bukannya entiti yang ingin menghadkan kreativiti pembuat filem.

“LPF perlu buka seluasnya libat urus dengan pemain industri kerana mungkin ada syor sesuai dengan keadaan masa kini daripada mereka.

“Saya percaya undang-undang itu dinamik dan bukan statik, kita ingin gunakan untuk kukuhkan lagi peranan dan fungsi LPF ini,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata pada 2023, LPF telah menerima 11,439 permohonan tapisan yang merangkumi tapisan bagi filem, iklan, kandungan stesen televisyen serta bahan publisiti filem.

Berdasarkan buku Garis Panduan Penapisan Filem baharu yang diedarkan, kandungan filem hendaklah tidak menyemarakkan isu perkauman, ketegangan politik dan kesalahfahaman terhadap agama.

Selain itu, kandungan filem hendaklah tidak menyentuh gaya hidup liar, tidak berpedoman, songsang dan bertentangan dengan budaya yang boleh merosakkan nilai murni masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan