SUKAN

JADIKAN PENCAPAIAN CEMERLANG WENDY INSPIRASI BUAT ATLET PELAPIS - MOHAMAD NORZA

16/04/2024 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berharap pencapaian mengagumkan atlet terjun negara Wendy Ng akan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk mengekalkan dominasi Malaysia dalam sukan itu di pentas antarabangsa.

Semalam, menerusi akaun Instagram miliknya, atlet berusia 30 tahun itu mengumumkan persaraan setelah 20 tahun berkecimpung dalam sukan akuatik terjun.

Mohamad Norza yang menyifatkan Wendy sebagai penerjun luar biasa berkata kekosongan ditinggalkan atlet kelahiran Kuala Lumpur yang sudah tiga kali berada di pentas Olimpik itu, bakal membuka peluang kepada atlet muda untuk menyerlahkan potensi mereka.

“Kita mengucapkan selamat tinggal kepada seorang lagi penerjun wanita yang luar biasa. Kami sangat menghargai sumbangan dan dedikasi beliau sepanjang penglibatannya mengharumkan nama Malaysia.

“Saya harap pencapaian Wendy akan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk meneruskan dominasi Malaysia dalam acara terjun. Cabaran ini buat pelapis untuk meningkatkan prestasi dan segera mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Wendy,”  katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi MOM hari ini.

Penampilan sulung Wendy di pentas Olimpik adalah pada edisi 2012 di London, diikuti 2016 di Rio de Janeiro dan Tokyo 2020.

Wendy juga mewakili Malaysia di temasya sukan utama seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA sepanjang 20 tahun penglibatannya.

Pencapaian Wendy juga tidak kurang hebatnya apabila memenangi keseluruhan tujuh pingat emas dan tiga perak di Sukan SEA, empat perak di Sukan Asia, satu perak di Sukan Komanwel dan Kejohanan Siri Dunia (empat gangsa) dan Grand Prix (tujuh emas, satu perak dan dua gangsa).

Terdahulu, ketika mengumumkan persaraan dalam akaun Instagram miliknya, Wendy berkata: “Hari ini dengan rasa syukur, saya mengucapkan selamat tinggal kepada kolam renang yang telah menjadi tempat perlindungan dan pentas untuk saya mencipta detik-detik indah yang tidak dapat dilupakan. Daripada kejayaan ke Olimpik hingga menghargai setiap kemenangan, semuanya didorong dengan dedikasi dan sokongan penuh.

“Persaraan ini menandakan permulaan babak baharu. Terima kasih kepada semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan luar biasa ini. Inilah permulaan baharu yang akan diharungi dengan keberanian dan semangat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan