AM

EDOTCO, ZETA IOS BANTU ORANG ASLI SUNGAI KELIT DAPATKAN KEMUDAHAN INTERNET

30/04/2024 01:41 AM

RAUB, 29 April (Bernama) -- EDOTCO Group Sdn Bhd dengan kerjasama Zeta IOS telah memberi manfaat Internet kepada hampir 150 penduduk kampung Sungai Kelit di sini.

Pemasangan fixed wireless access point (FWA) dan Super WiFi  melenyapkan kegusaran penduduk kampung dalam menjalani kehidupan seharian.

Ketua Kawal Selia EDOTCO Group Firdaus Fadzil berkata pihaknya berpuas hati dengan kejayaan pemasangan Internet ini apabila penduduk kampung tidak lagi harus berjalan sejauh dua kilometer (km) untuk mendapatkan Internet.

“Kita ambil maklum dan bersimpati dengan cabaran yang dihadapi masyarakat di sini. EDOTCO bukan sahaja melaksanakan projek bersifat komersial namun kita merupakan satu daripada pembina menara terbesar di Malaysia.

“Kita diberi mandat untuk melaksanakan program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan di Pahang sahaja, kita diberi tanggungjawab untuk melaksanakan 46 tapak,” katanya kepada Bernama pada Lawatan Kerja EDOTCO di Kampung Sungai Kelit hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi dan Ketua Pegawai Operasi Zeta IOS Zaaim Redha memaklumkan bahawa hanya EDOTCO yang merealisasikan hasrat penduduk kampung untuk mendapatkan Internet walaupun telah dikunjungi pelbagai syarikat telekomunikasi.

“Kita mengguna pakai Starlink untuk membawa Internet, super wifi dan FWA yang keluasan penggunaan Internet lebih kurang tiga padang bola dengan kelajuan 100 megabit sesaat (Mbps),” katanya.

Terdahulu, Pengarah Perniagaan Malaysia EDOTCO Gayan Koralage membuat panggilan video bersama Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah selaku Pengerusi Shahzan Alam Muda yang sedang berada di luar negara bagi menguji kelajuan WiFi dan menyemak prestasi rangkaian berkenaan.

Dalam pada itu, Tok Batin Kampung Sungai Kelit Tambi Yin meluahkan rasa syukur apabila kampungnya telah mempunyai kemudahan Internet.

“Sebelum ini, apabila ada isu kecemasan, kami perlu jalan hingga ke jalan besar untuk mendapatkan bantuan dan liputan Internet. Ada ahli keluarga kami yang tidak sempat mendapatkan pertolongan dan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan.

“Ketika pandemik, anak-anak dan cucu kami perlu berjalan sejauh 1.5 km untuk mendapatkan liputan Internet. Mereka terpaksa berebut untuk meminjam telefon pada siapa yang ada Internet kerana ingin memasuki kelas dalam talian.

“Kami diberitahu bahawa WiFi ini hanya percuma untuk enam bulan sahaja, saya harap pihak kerajaan dapat membantu kami untuk menyediakan Internet ini sepanjang masa,” katanya.

Ditanya mengenai pelanjutan perkhidmatan Internet yang akan tamat enam bulan lagi, jurucakap Unit Pendidikan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah Raub berkata JAKOA akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bersama kerajaan negeri untuk sebarang keputusan.

-- BERNAMA


 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan