SUKAN

OLIMPIAN ANTARA MUKA BAHARU LEMBAGA PENGURUSAN MSN

30/04/2024 01:56 AM

KUALA LUMPUR, 29 April 29 (Bernama) -- Olimpian S. Suriaghandi dan Hazlina Ab Aziz dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) yang baharu bagi penggal bermula 1 Mei 2024 hingga 30 April 2026. 

MSN menerusi kenyataan memaklumkan Surighandi iaitu bekas pemain hoki kebangsaan pernah beraksi di Olimpik Barcelona 1992 dilantik bagi menggantikan bekas ratu renang negara Nurul Huda Abdullah yang akan memikul peranan baharu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sukan Selamat di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Suriaghandi, pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan daripada University of Chicago Booth School of Business merupakan bekas Ketua Pegawai Transformasi dan juga bekas Ketua Pegawai Operasi Kumpulan KPJ Healthcare Berhad. 

Beliau pernah memegang jawatan kanan di beberapa syarikat besar termasuk Khazanah Nasional Berhad, Parkway Group Healthcare di Singapura, Kumpulan Hospital Pantai, Salcon Green Energy di UK dan Shell Malaysia Retail Real Estate.

MSN mengumumkan Hazlina yang merupakan wakil Kementerian Kewangan menggantikan Idwan Ariff Abdul Rahman. 

“Antara keputusan penting diputuskan Lembaga Pengurusan MSN sepanjang tempoh dua tahun ini adalah penubuhan Projek Road to Gold (RTG), yang memberi fokus memenangi pingat emas pertama pada Sukan Olimpik, baik pada tahun ini di Paris mahupun untuk edisi Los Angeles 2028.

“Lembaga itu turut memperkenalkan Skim Kontrak Penggajian Atlet (SKPA) yang menukar bayaran elaun kepada bayaran gaji dengan imbuhan tambahan seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” menurut kenyataan itu.

Lembaga Pengurusan juga memutuskan kajian semula Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK) yang lebih baik kepada semua jurulatih di bawah program MSN serta mewajibkan pegawai pengiring kepada atlet para menyertai kejohanan peringkat antarabangsa. 

Selain itu, memeterai perjanjian Memorandum Persefahaman bersama Nippon Sport Science University (NSSU) pada 13 Feb tahun lepas bagi membantu dalam kecemerlangan sukan prestasi tinggi negara.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan