AM

Pengendali Telegram Beri Kerjasama Baik Kawal Selia Platform - Fahmi

10/03/2024 05:04 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan Telegram memberi kerjasama baik dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam mengawal selia platform berkenaan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata antara kerjasama diberikan termasuk berkaitan isu keselamatan dalam talian seperti penipuan dan judi dalam talian dengan menurunkan kandungan atau saluran yang berkaitan.

“Tetapi satu daripada masalah yang kita hadapi ialah bila ditutup satu saluran, dibuka saluran lain. Judi dalam talian ini seringkali mereka sangat kreatif. 

“Jadi kita juga berbincang mengenai cara-cara yang lebih mampan untuk lawan penipuan dan judi dalam talian bukan sahaja dalam aplikasi Telegram tetapi banyak aplikasi media sosial dan mesej dalam talian yang lain,” katanya kepada pemberita pada program pemeriksaan kesihatan mata di Lembah Pantai, di sini hari ini.

Selain isu keselamatan, Fahmi berkata pihak Telegram turut memberi kerjasama dalam menurunkan kandungan yang melanggar Akta Hak Cipta.

“Contohnya, siri televisyen Layang Layang Perkahwinan boleh diperoleh dalam aplikasi tersebut,” kata Fahmi

Pada 2 Mac lepas, Fahmi mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Telegram Pavel Durov di Dubai bagi membincangkan isu berbangkit melibatkan platform media sosial itu yang mempunyai kira-kira 15 juta pengguna di Malaysia.

Mengenai program pemeriksaan kesihatan mata, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata sebanyak 150 penduduk sekitar Taman Sri Sentosa menyertai program anjuran Rotary Club of Pantai Valley dengan kerjasama Parlimen Lembah Pantai.

Selain pemeriksaan mata menggunakan teknologi realiti maya (VR), program itu turut menyediakan pemeriksaan perubatan asas, urutan refleksologi dan gunting rambut percuma.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan