AM

INSKEN Perluas Kerjasama Global Melalui Rangkaian Perusahaan Luar Bandar

29/06/2026 10:25 AM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) memperluas kerjasama globalnya menerusi peranannya sebagai satu daripada pengelola Rangkaian Perusahaan Sosial Luar Bandar (RSEN), iaitu sebuah platform yang memperkasakan komuniti luar bandar melalui keusahawanan sosial di samping menggalakkan pembangunan ekonomi inklusif dan mampan.

Dalam kenyataan di sini hari ini, INSKEN memaklumkan bahawa inisiatif itu bertujuan menyokong perusahaan sosial dalam menangani cabaran komuniti, sambil menjana impak ekonomi mampan kepada penduduk luar bandar.

“Selaku pengelola, INSKEN bekerjasama dengan rakan ekosistem untuk memupuk pertumbuhan perusahaan sosial luar bandar melalui peningkatan keupayaan keusahawanan, memudahkan akses kepada sumber serta mewujudkan peluang kerjasama dan peluasan pasaran,” menurut kenyataan itu.

Selain INSKEN, rangkaian itu turut diuruskan bersama oleh Social Enterprise World Forum dan Australian Centre for Rural Entrepreneurship, yang menyediakan asas pentadbiran dan menjadi pemudah cara bagi memastikan rangkaian itu terus berkembang, dengan penyelarasan berkesan dan kerjasama jangka panjang yang mampan.

Pengelola merujuk kepada peranan menyokong dan memupuk rangkaian itu bagi pihak ahlinya, bukan memilikinya atau mengarahkannya, sekali gus membolehkan ahli membimbing rangkaian itu, manakala pengelola memudah cara tindakan secara kolektif. 

Berdasarkan kepakaran dalam pembangunan keusahawanan, INSKEN menyumbang melalui program pembangunan kapasiti, bimbingan perniagaan, mentor serta intervensi strategik, yang bertujuan memperkukuh daya tahan dan keupayaan penskalaan perusahaan sosial luar bandar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Viviantie Sarjuni berkata penglibatan organisasi itu dalam RSEN mencerminkan komitmen berterusan untuk memastikan keusahawanan kekal sebagai pemangkin kepada transformasi sosial dan ekonomi yang positif.

“Melalui peranan pengelola INSKEN dalam RSEN, kami dapat bekerjasama dengan rakan global dan serantau untuk memperkukuh perusahaan sosial luar bandar, memperluas akses kepada peluang serta mewujudkan impak yang berkekalan kepada komuniti.

“Ini mencerminkan komitmen kami untuk membina ekosistem keusahawanan inklusif, yang setiap komuniti mempunyai peluang untuk mengambil bahagian, berkembang dan berjaya,” katanya.

RSEN berfungsi sebagai platform kolektif yang menghimpunkan perusahaan sosial, agensi pembangunan, organisasi sektor swasta dan pemudah cara ekosistem bagi mempercepat pertumbuhan usaha berimpak di kawasan luar bandar.

Melalui perkongsian pengetahuan, pembangunan kapasiti dan kerjasama strategik, rangkaian itu menyasarkan untuk mewujudkan manfaat sosioekonomi jangka panjang kepada komuniti yang kurang mendapat perhatian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan