EKONOMI

Hibiscus Cadang Hapus Kira Rm27 Juta Bagi Telaga Tidak Berdaya Maju Secara Komersial

01/03/2024 03:22 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Hibiscus Petroleum Bhd bercadang untuk menghapus kira sebanyak RM27 juta anggaran kos modal untuk telaga cari gali South Furious Merah selepas penilaian awalnya mendapati volum hidrokarbon dalam telaga itu mungkin tidak mencapai ambang ekonomi yang berdaya maju secara komersial.

Telaga cari gali South Furious Merah adalah sebahagian daripada program penggerudian Hibiscus Petroleum oleh anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, SEA Hibiscus Sdn Bhd, untuk menggerudi tiga telaga cari gali, termasuk telaga South Furious Ungu dan South Furious Ungu ST, untuk menilai prospektif lokasi cari gali medan berhampiran dalam sempadan Kontrak Perkongsian Pengeluaran Perolehan Semula Minyak Dipertingkat Sabah Utara 2011.

"Kempen ini pada awalnya bermula di lokasi telaga South Furious Ungu pada 29 Okt 2023, dan kemudiannya berpindah ke lokasi South Furious Merah pada 19 Jan 2024, selepas menggerudi telaga South Furious Ungu ST," kata Hibiscus Petroleum dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Hibiscus Petroleum berkata kos modal, jumlah bersih daripada cukai kepada SEA Hibiscus, yang dianggarkan untuk telaga Ungu dijangka kira-kira RM54 juta.

"Semua kos modal dibiayai daripada sumber dalaman, dan kos yang berkaitan dengan kempen itu telah dimasukkan dalam bank pemulihan kos SEA Hibiscus," katanya.

Pada rehat tengah hari, Hibiscus tidak berubah pada RM2.53, dengan 955,100 saham didagangkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan