| BERITA TERGEMPAR | 2026 National Day celebrations to be held at Putrajaya Square on a modest scale - Fahmi | |
PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Sebanyak 10 syarikat bumiputera disasar untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2026 dan 2027, dengan empat daripadanya berada dalam perancangan bagi disenaraikan tahun ini.
Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata penyenaraian itu susulan hasil Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata sasaran itu jauh melebihi pencapaian lima tahun sebelumnya.
"Bagi menyokong sasaran berkenaan, program '10 Juara Bumiputera' hasil kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah diperkenalkan untuk membimbing syarikat berpotensi tinggi serta melahirkan 10 syarikat bumiputera bernilai RM500 juta setiap satu menjelang 2028," katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Fahmi berkata ekosistem Petroliam Nasional Bhd (Petronas), GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merupakan salah satu penyumbang penting kepada agenda pembangunan bumiputera negara.
Beliau berkata ekosistem berkenaan telah menyumbang RM50 bilion setahun, termasuk RM49.2 bilion pada tahun lepas, merangkumi pelaburan langsung, perolehan vendor, pembangunan bakat dan komuniti.
"Pada masa yang sama, garis panduan baharu pembangunan vendor bumiputera turut diperkenalkan bagi memperkukuh saluran pembangunan vendor serta meningkatkan kapasiti mereka secara lebih tersusun dan berkesan," katanya.
Beliau berkata Jemaah Menteri juga sedang meneliti cadangan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) agar tempoh bayaran GLC dan GLIC kepada vendor tempatan dipendekkan bagi memastikan aliran kewangan atau ‘cash flow’ syarikat dan vendor tempatan dapat diuruskan dengan lebih baik.
Sementara itu, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai prestasi operasi pelabuhan persekutuan bagi suku pertama tahun ini yang mencatat 8.002 juta unit setara 20 kaki (TEU), menunjukkan peningkatan 8.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Ini dipacu oleh peranan negara sebagai penghubung utama bagi barangan dunia melalui aktiviti pemunggahan pindahan ke kapal atau transshipment yang mencatat pertumbuhan 9.96 peratus berbanding suku pertama 2025," katanya.
Beliau berkata kargo konvensional turut menunjukkan peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, terutama bagi kargo am yang meningkat 8.93 peratus dan kendalian pukal kering yang bertambah sebanyak 3.55 peratus.
"Prestasi ini amat membanggakan walaupun ketika negara berdepan dengan krisis geopolitik di Asia Barat yang bermula sekitar suku pertama tahun ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial