AM

Titah Sultan Sharafuddin Kukuh Perpaduan Amat Wajar - Ramanan

10/12/2023 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menggesa rakyat Malaysia mengukuhkan perpaduan dan kekal tidak tunduk kepada suara yang mengeksploitasi kaum dan agama adalah amat wajar, kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) Datuk R. Ramanan.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata titah Sultan Sharafuddin itu tepat bahawa Malaysia perlu berbangga dengan latar belakang berbilang kaum dan ia harus dipertahankan.

"Titah Tuanku adalah paling meyakinkan kembali kerana ada pihak yang cuba mengubah kepelbagaian rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan mengulas mengenai berita yang dilaporkan Sunday Star hari ini.

Sultan Sharafuddin dalam temu bual eksklusif dengan Sunday Star mengingatkan kepada rakyat Malaysia agar terus mempertahankan nilai dan latar belakang pelbagai budaya kerana ia kekal sebagai kekuatan yang menyatukan negara.

Baginda bertitah Malaysia merupakan negara yang mempunyai pelbagai budaya yang dipelihara sejak merdeka.

Menurut Ramanan, titah Sultan Sharafuddin berkenaan rakyat Malaysia perlu menolak ahli politik yang menggunakan isu kaum, agama dan raja (3R) adalah tepat.

"Langkah terbaik untuk memerangi eksploitasi isu 3R adalah dengan menolak mereka. Jangan galakkan dengan cara mengundi mereka, sepertimana titah tuanku," katanya.

Ramanan juga menzahirkan penghargaan kepada Sultan Sharafuddin kerana bersuara untuk rakyat Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan