KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meluluskan 136 tuntutan di bawah Skim LINDUNG 24 Jam sejak dikuatkuasakan pada 1 Jun, membabitkan bayaran faedah berjumlah RM672,743.10 kepada pencarum yang ditimpa musibah di luar waktu bekerja.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata jumlah itu mewakili 62.9 peratus daripada keseluruhan tuntutan yang dikemukakan di bawah skim baharu tersebut.
“Ramai yang memahami Perkeso memberi perlindungan apabila kemalangan berlaku di tempat kerja, namun menerusi LINDUNG 24 Jam, ia kini diperluas kepada insiden luar waktu kerja termasuk hari cuti.
“Langkah proaktif ini bertujuan memastikan Orang Berinsurans (OB) yang ditimpa musibah di luar waktu tugasan hakiki mereka tetap mendapat pembelaan sewajarnya, sekali gus menutup kelompangan yang wujud sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramanan berkata perlindungan komprehensif seperti itu amat penting memandangkan musibah boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan lokasi, seperti dibuktikan menerusi beberapa kes awal yang diterima.
Antara penerima terawal skim LINDUNG 24 Jam ialah Husnizam Hisamudin, 43, dan Muhammad Amirul Hazim Misnon, 22, yang terlibat dalam kejadian kemalangan maut di Simpang Renggam, Johor.
Selain itu, petugas Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Keningau, Sabah Brissty Vidalyn Felicianus, 33, turut menerima perlindungan tersebut selepas kenderaan dinaikinya terbabas ke dalam gaung ketika pulang daripada aktiviti pendakian.
“Mangsa yang mengalami patah bahu dan kaki kanan itu kini dalam pemantauan Skuad Prihatin Perkeso dan disahkan menerima gantian pendapatan Faedah Hilang Upaya Sementara sepanjang tempoh cuti sakitnya.
“Kepentingan perlindungan 24 jam ini turut dizahirkan di Perak, melibatkan seorang runner syarikat kereta terpakai Chen Chee Ling, 51, yang patah pergelangan tangan kanan akibat tergelincir di sebuah kedai makan ketika menjamu selera dengan keluarga,” katanya.
Ramanan turut mengingatkan semua majikan dan pekerja di seluruh negara supaya memastikan caruman dipatuhi sebaiknya demi menjamin perlindungan yang optimum, bukan hanya ketika bekerja tetapi juga di luar waktu pekerjaan.
“Sama ada ketika bersukan, beriadah, bercuti mahupun menjalani aktiviti harian, kemalangan boleh mengubah kehidupan seseorang dalam sekelip mata dan caruman inilah yang akan membantu kelangsungan hidup mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial