KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Syarikat pelaburan pertanian inovatif Asia Platinum Capital Bhd (APCB) telah memeterai memorandum persefahaman dengan Macor Shipping Sdn Bhd membabitkan bekalan makanan ternakan rumput raja atau ‘giant king grass’ (GKG).
Di bawah kerjasama itu, APCB akan membekalkan sebanyak 10,000 tan GKG sebulan atau 120,000 tan setahun pada harga US$300 satu tan (US$1=RM4.68) kepada Macor Shipping, kata syarikat itu dalam kenyataannya hari ini.
Bagi tempoh dua tahun pertama, kerjasama itu dijangka menyumbang secara signifikan kepada perolehan hasil APCB dengan nilai kasar mencecah US$72 juta.
“Selain itu, yuran pengurusan sebanyak US$30 satu tan akan dikenakan bagi setiap tan yang dibekalkan mengikut terma dan syarat perjanjian, sekali gus meningkatkan lagi aspek nilai kerjasama ini,” katanya.
APCB berkata Macor Shipping berperanan sebagai pengeksport yang menyasarkan bekalan makanan haiwan GKG yang mencukupi untuk diproses bagi kalangan pengguna di Korea.
Pada masa sama, syarikat itu menyasarkan penanaman GKG di kawasan seluas 4,000 hektar di Sabah bagi menampung keperluan Macor Shipping.
Pengerusi APCB Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan berkata kerjasama itu dapat mengukuhkan lagi kedudukan syarikat berkenaan sebagai peneraju dalam pasaran GKG dan selaras dengan matlamat menjana sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Komitmen kami adalah untuk menyediakan bekalan makanan ternakan GKG yang bermutu tinggi dan boleh diharapkan bagi Macor Shipping yang mampu meningkatkan keupayaan fasiliti pengeluarannya selain menyokong rangka kerja Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara,” katanya.
Menurut kenyataan itu, GKG yang juga rumput malar hasil tinggi dan mampu subur di kawasan kecil, sememangnya dikenali sebagai pemacu utama dalam pengeluaran biojisim dengan menghasilkan 40-80 tan bahan kering sehektar setiap tahun dan bergantung kepada penggunaan baja.
"Berdasarkan kapasiti penghasilan kira-kira 100 tong sehektar, GKG juga memberi harapan dari segi mewujudkan masa depan yang rendah karbon.
"Penggunaan GKG bagi tujuan pembakaran langsung dalam loji janakuasa serta potensi tuaian secara suku tahunan, turut menjadikannya sebagai alternatif strategik untuk bahan api fosil selain penyumbang utama bagi usaha pengurangan penggunaan arang batu di loji janakuasa elektrik," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial