AM

KDEBWM, TM Enviro Bangunkan Rantaian Pengurusan E-sisa Bersepadu

29/06/2026 04:00 PM

SHAH ALAM, 29 Jun (Bernama) -- KDEB Waste Management (KDEBWM) memperkukuh agenda kelestarian dan ekonomi kitaran di Selangor menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan TM Enviro Industries Sdn Bhd bagi meningkatkan pengurusan sisa elektronik (e-sisa) dengan lebih menyeluruh dan mampan.

Pengarah Urusan KDEBWM Datuk Ramli Mohd Tahir berkata kerjasama strategik itu langkah penting dalam melengkapkan rantaian nilai pengurusan e-sisa, bermula daripada proses kutipan di punca sehingga pemulihan bahan bernilai mengikut piawaian ketat Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“KDEBWM akan memberi tumpuan kepada aspek front-end termasuk kutipan e-sisa daripada komuniti, penyediaan pusat pengumpulan, operasi logistik, program pendidikan awam serta kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“TM Enviro Industries pula akan melaksanakan fungsi back-end melibatkan pengangkutan sekunder, pemprosesan teknikal, pemulihan bahan bernilai, rawatan akhir hayat serta pelupusan mengikut piawaian," katanya. 

Ramli berkata demikian ketika berucap dalam majlis MoU itu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TM Enviro Industries P Theevan di Pejabat KDEBWM di sini hari ini.

Beliau berkata gabungan kepakaran dua pihak itu akan menghasilkan rantaian pengurusan e-sisa yang lengkap, telus dan memenuhi piawaian antarabangsa serta memacu KDEBWM bergerak melangkaui peranan tradisionalnya sebagai syarikat kutipan sisa domestik menjadi penyedia penyelesaian alam sekitar yang bersepadu.

Dalam pada itu, Ramli berkata sistem digitalisasi operasi dan analisis data masa nyata yang digunakan kini membolehkan KDEBWM lebih cekap dalam menguruskan logistik sisa bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan lebih responsif kepada keperluan rakyat.

“Bagi memperkukuh program Selangor Kitar Semula (SELKitar), kemudahan pengumpulan peranti itu diperluas secara door-to-door bagi memudahkan masyarakat melupuskan barangan kecil seperti telefon bimbit dan kabel dengan cara yang selamat.

“Semua e-sisa di bawah Kod SW110 akan diproses untuk mendapatkan logam berharga dan komponen yang masih mempunyai nilai ekonomi. Pendekatan ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan serta membuka peluang kepada pembangunan industri ekonomi kitaran di negara ini,” katanya.

Selain aspek teknikal, Ramli berkata kerjasama itu juga memfokuskan pada pembangunan komuniti melalui pendidikan alam sekitar bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya sisa berbahaya seperti plumbum dan merkuri.

Beliau berkata pihaknya yakin visi jangka panjang itu akan meningkatkan kecekapan operasi serta menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi hijau negeri melalui prinsip Kelestarian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

"Setiap langkah diambil KDEBWM hari ini pelaburan masa depan bagi memastikan Selangor muncul sebagai peneraju ekonomi kitaran paling progresif di rantau ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan