EKONOMI

SUZUKI MOTOR CORP MAHU TAMBAH PELABURAN, TINGKAT KERJASAMA DENGAN SYARIKAT TEMPATAN - PM ANWAR

15/09/2023 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Suzuki Motor Corp melahirkan hasrat untuk meningkatkan lagi pelaburan dalam bidang pembuatan motosikal di Malaysia selain mengeratkan kerjasama dengan rakan teknikal tempatannya, KMSB Motors Sdn Bhd, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, penambahan pelaburan dan peningkatan kerjasama itu dimaklumkan sendiri Presiden Suzuki Motor Corp Toshihiro Suzuki kepada beliau dalam satu kunjungan hormat yang berlangsung petang tadi.

"Sayugia, keputusan pelaburan ini amat saya alukan hatta ia akan memberi manfaat kepada pelbagai pihak dalam rantaian industri pembuatan motosikal," katanya menerusi hantaran terbaharu di laman Facebook beliau, usai menerima kunjungan rombongan berkenaan.

Pertemuan itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Isham Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman, dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, KMSB Motors Sdn Bhd Ahmad Faez Tan Sri Yahaya.   

"Saya singgung bahawa Kerajaan Perpaduan mengamalkan dasar memudahkan urusan pelabur dalam dan luar negara. 

"Dengan kerjasama ini, saya  berharap Malaysia akan terus menjadi pilihan pelabur dari negara Jepun," kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan