AM

HIPERTIROIDISME PENYAKIT ENDOKRIN KEDUA SERING DIDIAGNOSIS SELEPAS DIABETES DI MALAYSIA

21/05/2024 11:26 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Hipertiroidisme, salah satu penyakit tiroid, merupakan penyakit endokrin kedua yang paling sering didiagnosis selepas diabetes di Malaysia, menurut Perunding Pakar Bedah Payudara dan Endokrin Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Wong Mei Wan.

Beliau berkata hipertiroidisme terjadi akibat pengeluaran hormon yang berlebihan dengan masalah itu boleh dikenal pasti menerusi gejala seperti kegelisahan, penurunan berat badan, tidak tahan panas dan berpeluh secara berlebihan.

Sementara hipotiroidisme, satu lagi penyakit tiroid berpunca daripada kekurangan pengeluaran hormon dan menunjukkan gejala seperti keletihan, penambahan berat badan dan sering mengalami kelesuan.

“Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan hipertiroidisme. Ia merangkumi penyakit autoimun seperti penyakit Graves hinggalah kepada tiroiditis yang berpunca daripada pengambilan iodin secara berlebihan.

“Sebaliknya, hipotiroidisme boleh berlaku akibat pembedahan yang dilakukan untuk mengeluarkan kelenjar tiroid. Faktor genetik juga boleh menyumbang kepada beberapa masalah tiroid,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Dr Wong, apa yang paling membimbangkan mengenai gejala hipertiroidisme ialah ia boleh menyerupai masalah kesihatan biasa, sekali gus menjadikan banyak kes hipertiroidisme tidak dikenal pasti dan dirawat.

Beliau berkata berdasarkan kajian yang dibuat baru-baru ini, terdapat kira-kira 50 peratus individu yang menghidap penyakit tiroid tidak didiagnosis. 

“Memandangkan gejala hipertiroidisme dan hipotiroidisme sukar dibezakan sama ada ia kejadian yang biasa atau akibat ketidakseimbangan hormon, maka adalah penting untuk seseorang itu mendapatkan bantuan sekiranya mereka mengalami gejala ini.

“Lebih-lebih lagi untuk hipertiroidisme kerana ia boleh menjurus kepada masalah kesihatan yang serius, malah boleh mengundang maut,” katanya.

Bagi mendiagnosis penyakit tiroid katanya, pengamal penjagaan kesihatan profesional kebiasaannya akan melakukan ujian fungsi tiroid iaitu ujian darah untuk menilai paras hormon.

“Gejala tiroid sama ada hiper atau hipo selalunya tidak spesifik sehingga menyebabkan ia boleh disalah tafsir. Sekiranya anda mempunyai gejala yang berterusan selama lebih dari sebulan, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan pakar penjagaan kesihatan dan melakukan ujian fungsi tiroid iaitu ujian darah,” katanya.

Dr Wong berkata pesakit disarankan untuk menjalani imbasan ultrabunyi jika disyaki terdapat nodul atau kejanggalan pada fungsi tiroid.

Mengenai rawatan untuk penyakit tiroid, beliau berkata ia berbeza bergantung kepada jenis dan tahap keparahan gangguan tiroid.

Menurutnya ubat-ubatan biasanya diberikan untuk mengawal paras hormon.

Beliau turut menekankan kepentingan melakukan pemantauan menerusi ujian darah secara berkala, terutamanya bagi mereka yang sedang menjalani rawatan bagi memastikan kestabilan fungsi tiroid.

“Kesedaran mengenai kesihatan tiroid adalah komponen penting untuk mengekalkan kesejahteraan kesihatan secara keseluruhan.

“Dengan kompleksiti gangguan tiroid, adalah wajar untuk menjalani pemeriksaan berkala, meningkatkan kesedaran terhadap gejala dan melakukan intervensi awal yang dapat memberikan perubahan signifikan terhadap kesihatan tiroid yang optimum,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan