EKONOMI

REKOD PELABURAN NEGARA AKAN MELONJAK LAGI TAHUN INI - PM ANWAR

21/05/2024 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Rekod pelaburan negara dijangka melonjak lagi pada tahun ini berbanding angka yang dicatatkan pada 2023, dibuktikan dengan potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion yang berjaya ditarik setakat Mac 2024, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata jumlah itu diraih menerusi pelabur tradisional seperti Amerika Syarikat (AS) dan China selain pelabur dari Australia bernilai RM24.5 bilion serta Jerman dan Perancis (RM46 bilion).

"Rekod tahun ini akan dilonjakkan lagi, lebih-lebih lagi dengan penyertaan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.

"Maka pelaburan ini akan memberi jaminan pekerjaan (yang) bertambah dan keselesaan kepada rakyat," kata beliau ketika menyampaikan Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan malam ini.

Pada 2023, Malaysia berjaya mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM329.46 bilion, merangkumi pelaburan asing RM188.37 bilion dan pelaburan domestik berjumlah RM141.09 bilion.

 

Kerajaan MADANI usaha untuk merealisasikan pelaburan 

 

Anwar berkata Kerajaan MADANI sentiasa sedaya upaya memastikan segala pelaburan negara direalisasikan pada masa yang ditetapkan.

Beliau memberikan contoh, antara kemajuan pelaburan diluluskan sebelum ini yang berada pada landasan yang betul termasuk, 75.5 peratus projek perkilangan yang diluluskan dari 2021 hingga 2023 yang telah siap atau sedang dalam pelaksanaan.

Beliau berkata selain itu, nilai kerja pembinaan peringkat awal juga adalah tinggi iaitu RM31.5 bilion pada 2023, berbanding RM26.3 bilion pada 2022.

"Hasil pelaburan ini melambangkan keyakinan baharu pelabur kepada pengemudian ekonomi negara saat ini berpandukan Ekonomi MADANI," kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan Malaysia sudah dianggap sebagai pusat pelaburan utama bagi mikrokomputer cip yang menarik puluhan bilion ringgit pelaburan daripada syarikat-syarikat utama Eropah, AS dan China.

Beliau menegaskan bahawa ekosistem perniagaan harus menyokong industri baharu yang mempunyai daya saing, dapat mampu bertumbuh dan bernilai tinggi supaya pelaburan dapat ditingkatkan dalam ekonomi tempatan.

"Industri tempatan (perlu) diberi nilai tambah khususnya sektor semikonduktor yang sedang mendapat tempat di mata dunia," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan