AM

Kelemahan Tatakelola, Rasuah Isu Pokok Perlu Ditangani Segera - PM Anwar

21/05/2024 11:20 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Kelemahan tatakelola dan amalan rasuah yang sistemik dan bermaharajalela adalah isu pokok yang perlu ditangani segera sebelum menyelesaikan masalah struktural yang melemahkan kekuatan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar ketika menyampaikan Perutusan Negara berkata beliau menekankan soal rasuah kerana ia menjadi barah utama yang melemahkan ekonomi negara serta menjatuhkan moral dan keyakinan rakyat.

Beliau berkata isu itu berlaku di setiap peringkat, dari atas sehingga ke bawah yang membebankan rakyat dengan kerenah sesetengah golongan yang masih mahu mengaut komisen sebelum apa-apa kelulusan diberikan.

"Tahun pertama lagi saya telah tegaskan keperluan menghentikan amalan rundingan terus dalam perolehan kerajaan, apa yang disebut sebagai tender rundingan, beralih kepada sistem tender terbuka," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata dua masalah struktural yang melemahkan kekuatan ekonomi negara ialah ekonomi rakyat dan ekosistem perniagaan yang hambar serta kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan yang lemah.

Mengenai kes rasuah yang dibangkitkan dalam kalangan rakyat, Perdana Menteri menegaskan bahawa siasatan diteruskan dan ada jalur hukum dan proses mahkamah yang harus diikuti.

Justeru, beliau berkata kerajaan memberi ruang sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara untuk bertindak tegas, selain menjamin perkhidmatan awam yang lebih teratur, bersih dari rasuah, kelembapan dan kemalasan.

"Apa yang penting, amalan ini (rasuah) mesti dihentikan. Proses mengambil masa dan kadang-kadang melelahkan. Saya sendiri seperti ramai yang lain rasa tidak sabar, mengapa amalan lalu yang mengaut kekayaan menimbun tidak dikenakan tindakan," kata beliau.

Walaupun ada yang memandang remeh usaha berkenaan dan menganggap ia sebagai slogan politik, Anwar berkata ia adalah perkara biasa dalam percaturan politik dan meluahkan keyakinan isu rasuah dapat diselesaikan jika dibanteras secara konsisten dan tegas.

Beliau memberi contoh projek Rancangan Tebatan Banjir yang dilaksanakan secara tender terbuka dan mampu menjimatkan wang rakyat sehingga RM2 billion.

Anwar berkata kerajaan juga berjaya menangani isu segelintir pegawai awam terlibat dalam sindiket penyeludupan di pintu masuk negara yang menyaksikan hasil negara tiris hingga RM2 bilion sejak 2017.

Selain itu Anwar berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turut melancarkan Ops Tiris bagi membanteras penyeludupan diesel yang selama ini merugikan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan