AM

JAWATANKUASA PENYELARASAN MUDAHKAN USAHA PEMBANGUNAN USAHAWAN DI SABAH

08/08/2023 06:43 PM

KOTA KINABALU, 8 Ogos (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mencadangkan satu jawatankuasa penyelarasan kerajaan negeri dan Persekutuan ditubuhkan bagi memudahkan usaha serta inisiatif disalurkan dapat dilaksanakan di Sabah.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan memudahkan kerajaan negeri untuk mengolah cara agensi Persekutuan memberi perkhidmatan, pembiayaan dan pembangunan usahawan yang diperlukan sesuai dengan hala tuju Sabah.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata terdapat banyak agensi terlibat dalam pembangunan usahawan dengan 66 agensi direkodkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) manakala 10 daripadanya merupakan agensi di bawah kementerian berkenaan.

“Ini wajar inisiatif pembangunan keusahawanan diterajui kerajaan negeri, dan Persekutuan beri sokongan dari segi pembiayaan, latihan, pembangunan kapasiti, promosi termasuk pembangunan premis perniagaan yang diletakkan di bawah agensi Persekutuan tapi mesti diketuai kerajaan negeri.

“Saya cadangkan jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Ketua Menteri atau mana-mana anggota Jemaah Menteri Negeri Sabah yang dimandatkan Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2023 melibatkan perbelanjaan tambahan lebih RM833 juta pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan