SEREMBAN, 20 Jan (Bernama) -- Pemandu dan penumpang sebuah treler rentung akibat tersepit selepas kenderaan dinaiki terlanggar penghadang jalan sebelum terbakar di Kilometer (km) 259.6 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, berhampiran susur masuk Plaza Tol Seremban-Port Dickson, dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, pemandu dikenali sebagai Mazlan Molot, 48, yang beralamat di Taman Putra Damai, Petaling Jaya, Selangor dan penumpang dipercayai isterinya, Fauziah Uyop berusia dalam lingkungan 40-an.
Beliau berkata treler berkenaan membawa muatan biji plastik.
“Siasatan awal mendapati treler yang dalam perjalanan dari Klang menuju ke Senawang itu dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan, sebelum melanggar penghadang jalan serta terbakar sepenuhnya. Kesesakan kira-kira 6km berlaku akibat insiden berkenaan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat, katanya.
Nanda berkata siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial