KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Kemajuan dan hasil daripada inisiatif berdasarkan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2015 dan Pelan Tindakan AEC 2025 merupakan antara perbincangan utama dalam Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan Ekonomi (Prep-SEOM) untuk mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-25 yang akan diadakan esok.
Selain perkembangan semasa mengenai hasrat Timor-Leste untuk menyertai ASEAN, kalangan pegawai kanan ekonomi juga membincangkan Pelan Strategik AEC 2026-2030 berasaskan Visi Komuniti ASEAN 2045, yang akan dilancarkan dan diterima Pemimpin ASEAN pada Isnin.
Prep-SEOM juga membincangkan prestasi ekonomi serantau dan kesan peralihan baru-baru ini terhadap dasar ekonomi global di ekonomi utama, serta strategi ASEAN untuk menghadapi impak peralihan ke atas ASEAN.
Mesyuarat itu juga menumpukan kepada peluang untuk memanfaatkan pertumbuhan menjelang mesyuarat AECC esok.
Mesyuarat AECC ke-25 dijangka menyokong beberapa laporan dan dokumen hasil untuk diterima pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 selain memberi panduan dan perincian mengenai keadaan semasa yang dihadapi di bawah Tonggak Ekonomi.
Mesyuarat hari ini membincangkan prestasi ekonomi serantau semasa dan implikasi daripada perubahan dasar ekonomi global oleh ekonomi utama dunia. Perbincangan memberi tumpuan kepada tindak balas strategik ASEAN untuk mengurangkan impak daripada perubahan tersebut selain mengenal pasti peluang untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
Dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Mastura Ahmad Mustafa. Mesyuarat itu dihadiri Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi AEC Satvinder Singh dan Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei Dr May Fa’ezah Ahmad Ariffin.
Wakil lain yang menghadiri mesyuarat itu secara fizikal termasuklah Long Kemvichet (Kemboja), Nugraheni Prasetya Hastuti (Indonesia), Seng Alune Vilaysack (Laos), Marie Sherylyn D. Aquia (Filipina) Alpana Roy (Singapura), Chotima Lemsawasdikul (Thailand), Nguyen Viet Chi (Vietnam) dan Augusto Junior Trindade (Timor-Leste).
Wakil dari Myanmar, Dr Marlar Myo Nyunt, menghadiri sesi itu secara maya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Mei, bersama-sama dengan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan.
Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan pemimpin dari negara anggota ASEAN untuk membincangkan isu serantau dan melakar hala tuju masa depan kerjasama ASEAN.
‘Keterangkuman dan Kemampanan’ ialah tema untuk Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial