AM

PDRM Terus Perkemas Kesiapsiagaan Sambut Pemimpin Hadir Sidang Kemuncak ASEAN

23/05/2025 01:43 PM

Oleh Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkemas kesiapsiagaan untuk menyambut ketibaan ketua-ketua negara dan delegasi yang akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di sini, bagi memastikan setiap prosedur ditetapkan berjalan lancar.

Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman DCP M. V. Sri Kumar berkata hingga kini sekurang-kurangnya empat latihan simulasi telah dilaksanakan melibatkan kerjasama erat antara PDRM, Kementerian Luar (KLN) dan pelbagai agensi berkaitan.

“Semalam, kita adakan raptai mengikut waktu sebenar ketibaan ketua-ketua negara.

“Hari ini, latihan simulasi tertumpu kepada penambahbaikan perincian seperti lokasi hentian kenderaan rasmi, laluan berjalan kaki untuk sesi bergambar serta elemen protokol lain,” katanya kepada Bernama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan penugasan sebanyak 6,200 pegawai dan anggota polis secara bergilir-gilir selama 24 jam setakat ini berjalan lancar.

“Latihan ini turut membantu dalam menyusun penugasan serta kedudukan pegawai di lokasi strategik bagi memastikan keselamatan ketua-ketua negara dan delegasi asing terjamin sepenuhnya,” katanya.

Mengenai penutupan jalan yang turut melibatkan laluan di sekitar KLCC bermula pada hari ini, Sri Kumar berkata pelaksanaannya setakat ini berjalan dengan baik dan perjalanan para delegasi ke destinasi masing-masing juga lancar.

“Orang ramai mungkin salah faham (dengan menganggap) penutupan (jalan) dilakukan secara berterusan, sebenarnya ia dilakukan bagi tempoh tertentu sahaja bagi (memberi laluan) dan membolehkan konvoi melepasi jalan yang ditutup.

“Saya berterima kasih kepada orang ramai yang merancang perjalanan atau mula menggunakan pengangkutan awam ketika persidangan ini. Kita perlu mengutamakan kepentingan negara pada masa-masa seperti ini,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dimulakan dengan mesyuarat pegawai-pegawai kanan pada hari ini diikuti mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei manakala mesyuarat ketua-ketua kerajaan pula akan bermula pada 26 Mei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan