KOTA KINABALU, 26 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) ke-46 di sini, wajar dijadikan wadah merangka inisiatif bagi meningkatkan taraf ekonomi umat Islam di negara anggotanya.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata ia penting terutama selepas pandemik COVID-19 melanda yang turut menjejaskan ekonomi seluruh dunia.
"Pembangunan ekonomi memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan sesebuah negara. Mesyuarat ini adalah forum yang amat penting untuk membincangkan isu dan cabaran umat Islam dalam kalangan negara anggota MABIMS, termasuk aspek ekonomi," katanya pada Majlis Makan Sempena Mesyuarat SOM MABIMS Ke-46 di sini malam ini.
Tetamu kehormat majlis itu Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad.
Mesyuarat SOM MABIMS ke-46 akan berlangsung selama tiga hari bermula esok dan dihadiri 29 delegasi dari empat negara anggota.
Hajiji berkata berkata pertemuan ini penting bagi mengeratkan hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan negara anggota MABIMS lain khususnya ke arah usaha membangunkan umat Islam di rantau Nusantara.
"Besarlah harapan saya agar mesyuarat ini mampu mengukuhkan lagi kesatuan serta menjadikan umat Islam di negara anggota MABIMS umat yang progresif yang cintakan kedamaian dan keharmonian," katanya.
Beliau juga berharap tahap kerjasama dalam membangun umat Islam di negara anggota MABIMS terus ditingkatkan khususnya dalam aspek daya tahan keagamaan dan mutu kehidupan beragama serta kesejahteraan sosioekonomi.
Sementara itu, Idris ketika berucap pada majlis itu berkata MABIMS memainkan peranan penting untuk menyelaras pengurusan hal ehwal Islam dan memperkasa umatnya di peringkat serantau.
"Pemimpin silih berganti namun, matlamat dan hala tuju MABIMS tetap teguh berdiri berpandukan perancangan strategik yang dirangka dan mendepani cabaran semasa bagi membina kesejahteraan dan kemakmuran selaras dengan kehendak agama Islam," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial