AM

USAHAWAN FELDA HASILKAN PRODUK SOS GUNA BAHAN SEGAR

15/06/2022 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Penggunaan bahan segar menjadi resipi utama seorang usahawan anak kelahiran Felda Sungai Mas, Kota Tinggi, Johor dalam menambat hati pelanggan untuk membeli produk sos keluaran syarikatnya.

Suriyati Yahaya, 43, yang mengusahakan perniagaan produk sos ‘Deli Taste Food’ berkata beliau sanggup tidak mengambil keuntungan lebih demi memberi kepuasan kepada pelanggan atau peminat setia produk sosnya, meskipun terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk memperoleh bahan segar. 

“Contohnya, bawang putih dan cili yang digunakan semuanya segar… bukan serbuk (serbuk cili) apatah lagi yang dibekukan. Jadi kami teruskan sahaja dengan margin keuntungan yang lebih rendah demi kepuasan pelanggan setia kami,” katanya kepada Bernama hari ini.

Memulakan perniagaannya sejak 2012, Suriyati berkata beliau mengambil alih perniagaan produk sos daripada sebuah syarikat dengan modal RM150,000.

Dibantu kakaknya, Zailawati, 46, sebagai penolong pengurus, Suriyati menumpahkan segala keringat dan tenaga untuk mengembangkan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) itu sehingga produknya dipasarkan di kedai runcit dan beberapa pasaraya di seluruh Johor.

Beliau berkata antara produk sos keluaran syarikatnya adalah sos cili berperisa kacang, sos cili, sos sayuran dan tomato serta sos tiram yang dijual pada harga antara RM2.50 dan RM17.50.

Produk sos Deli Taste Food bukan sahaja pembuka rezeki buat dua beradik itu, malah turut memberikan limpahan rezeki melalui peluang pekerjaan kepada warga Felda tempatan dengan enam tenaga kerja yang terdiri daripada generasi baharu Felda bekerja di syarikat berkenaan.

“Ini sebahagian daripada tanggungjawab yang digalas sejak bergelar usahawan dan bukan mengejar keuntungan semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, Suriyati berkata dengan peluang dan bimbingan pihak Felda baru-baru ini, Deli Taste Food telah memulakan perniagaan secara digital di platform Felda e-Mall melalui aplikasi Shopee.

“Platform ini menjadi batu loncatan untuk syarikat kami berkembang menjadi pengeluar peralatan tulen (OEM) atau kilang pengeluar bagi jenama-jenama persendirian yang lain. Bagi kami, ini pencapaian yang membanggakan di samping kita bersama-sama membantu usahawan lain yang baru bertatih dalam dunia keusahawanan,” katanya.

Walaupun baharu 10 tahun menceburi bidang perniagaan menghasilkan produk sos, pelbagai kejayaan telah diraih Suriyati termasuk Anugerah Usahawan Global Peladang Unit Bumi Penawar 2018, selain produk keluaran Deli Taste Food menerima pengiktirafan dalam Pertandingan Produk Industri Asas Tani serta Pertandingan Hasil-hasil Pertanian.

“Bagi kami, selain anugerah dan pengiktirafan ini, yang lebih membanggakan adalah apabila produk kami diterima dengan baik oleh pelanggan dari Singapura dan Brunei walaupun belum dipasarkan secara meluas di kedua-dua negara tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Suriyati mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan pihaknya khusus dari segi mengeksport dalam skala besar dengan menghubungi talian 013-7333 033 atau menerusi laman Facebook Deli Taste Food.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan