Oleh Samantha Tan
JOHOR BAHRU, 29 Jun (Bernama) -- Blok pengundi muda dan pemilih kali pertama dijangka muncul sebagai penentu utama di kerusi sengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 susulan peningkatan jumlah pengundi baharu hasil pelaksanaan Undi18 serta pendaftaran pemilih secara automatik.
Penganalisis politik menyifatkan kumpulan berkenaan sebagai ‘sauh’ yang mampu menghayunkan kemenangan kepada mana-mana parti memandangkan majoriti mereka tidak terikat dengan ideologi politik tertentu.
Ketua Penyelidik Ilham Centre Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata dalam persaingan sengit di kawasan marginal atau majoriti tipis, pendirian kelompok berkenaan amat signifikan dalam menentukan calon yang bakal meraih mandat.
“Selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik, jumlah pengundi kali pertama adalah besar dan signifikan di setiap kawasan pilihan raya.
“Bagi kawasan yang menyaksikan persaingan sengit dan marginal, pendirian kelompok ini berpotensi menentukan siapa yang muncul sebagai pemenang,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Mohd Yusri berkata strategi kempen kini perlu disesuaikan mengikut profil pengundi, dengan media sosial menjadi instrumen utama untuk mendekati anak muda di bandar, manakala pendekatan bersemuka kekal sebagai tulang belakang dalam usaha menawan hati pengundi luar bandar yang lebih berusia.
Beliau berkata pengundi atas pagar juga tidak lagi mudah dipengaruhi sentimen politik identiti semata-mata, sebaliknya lebih tertarik kepada tawaran penyelesaian terhadap isu realiti yang membelenggu rakyat.
“Mereka tidak mengikat kesetiaan kepada mana-mana parti. Oleh itu, manifesto yang objektif, realistik serta calon yang berwibawa menjadi faktor penting untuk meyakinkan kelompok ini,” katanya.
Beliau berkata kemampuan parti mengadunkan mesej kempen digital yang berkesan dengan gerak kerja lapangan yang menyeluruh akan menjadi ramuan utama penentu kemenangan pada PRN Johor kali ini.
Senada dengan itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya (UM) Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata parti politik perlu mengimbangi kempen digital dan gerak kerja akar umbi secara agresif.
Beliau menyifatkan kelompok pengundi berusia 18 hingga 39 tahun yang berjumlah 1.2 juta orang sebagai segmen paling kritikal kerana mereka lebih terbuka menilai prestasi berbanding sentimen kepartian.
Katanya, golongan itu cenderung menilai calon berdasarkan kredibiliti, rekod perkhidmatan serta keupayaan menyelesaikan isu setempat dengan pantas.
Menurutnya, pengundi bandar lebih terdedah kepada naratif nasional dan media sosial, manakala pengundi luar bandar masih dipengaruhi kekuatan jentera akar umbi serta hubungan calon dengan masyarakat.
“Pengundi muda dan pengundi atas pagar ialah kumpulan paling menentukan dalam PRN Johor kali ini kerana mereka lebih terbuka membuat pilihan berdasarkan prestasi dan isu semasa berbanding sentimen kepartian.
“Media sosial boleh mencipta momentum, tetapi jentera akar umbi menukar momentum itu kepada undi sebenar. Parti yang hanya kuat di media sosial tetapi lemah di lapangan lazimnya sukar untuk menang,” katanya.
Mohammad Tawfik berkata pengundi Johor kini semakin terbuka menerima wajah baharu, namun faktor usia muda bukan tiket automatik untuk meraih sokongan jika tidak disertai kredibiliti.
Mengulas petunjuk utama yang bakal menentukan keputusan PRN Johor, beliau berkata tiga faktor utama ialah kadar keluar mengundi, kecenderungan pengundi atas pagar serta keupayaan parti menawarkan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup.
“Parti yang paling berjaya meyakinkan rakyat mengenai isu gaji, harga barang, perumahan dan peluang pekerjaan akan lebih dekat di hati pengundi. Dalam PRN Johor kali ini, emosi ekonomi rakyat mungkin lebih penting daripada slogan politik,” katanya.
Berdasarkan statistik pengundi berdaftar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), lebih 1.29 juta daripada keseluruhan pengundi berdaftar terdiri daripada mereka yang berusia bawah 40 tahun.
Kumpulan usia 30 hingga 39 tahun membentuk blok terbesar dengan 587,888 orang, diikuti kumpulan 21 hingga 29 tahun seramai 544,657 orang, manakala 165,386 lagi pemilih adalah daripada kategori usia 18 hingga 20 tahun.
PRN Johor akan diadakan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial