AM

Aman Palestin jemput umat Islam sertai kempen korban di bumi anbia

19/05/2022 03:05 PM

BANGI, 19 Mei (Bernama) -- Umat Islam di negara ini dipelawa menyertai kempen Korban di Bumi Anbia 2022 yang akan dilaksanakan di Palestin, Syria dan Yaman.

Kempen yang digerakkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin itu menyasarkan penyertaan sebanyak RM9 juta yang akan dapat memberi manfaat kepada ribuan umat Islam di negara-negara tersebut selain warga Palestin yang berada di Malaysia dan Indonesia.

Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin Berhad Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata melalui kempen yang akan berlangsung sehingga Julai tahun ini, Aman Palestin akan menggerakkan misi kemanusiaan ke negara-negara terbabit bagi mengagihkan daging-daging korban yang disumbangkan.

“Dengan pelaksanaan misi ini, Aman Palestin sedaya-upaya memastikan setiap ibadah korban yang disertai oleh masyarakat dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhd Farhan berkata sejak 16 tahun lepas, Aman Palestin melaksanakan program korban tersebut yang telah memberi manfaat kepada lebih 6 juta umat Islam.

“Aman Palestin sentiasa optimis dalam melaksanakan ibadah korban di bumi para anbia dan pengalaman selama 16 tahun sudah cukup untuk memastikan setiap penyertaan ibadah korban dilaksanakan dengan lancar.

“Oleh yang demikian, Aman Palestin mengharapkan kerjasama yang jitu dan penyertaan daripada seluruh masyarakat bagi menjayakan kempen pada tahun ini,” katanya.

Orang ramai boleh terus hadir ke mana-mana 20 cawangan Aman Palestin di seluruh negara untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kempen tersebut.

Selain itu mereka juga boleh melayari laman sesawang jommenyumbang.com ataupun menghubungi pejabat Aman Palestin di seluruh negara bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kempen tersebut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan