AM

Ladang Informasi Veterinar Bari jadi pusat pengeluar baka Rusa menjelang 2023

29/11/2021 05:58 PM

SETIU, 29 Nov -- Ladang Informasi Veterinar dekat Bari di sini akan menjadi pusat pengeluar baka ternakan rusa terbesar dan berkualiti milik kerajaan untuk dipawah atau dibeli penternak di negeri ini menjelang 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata ketika ini terdapat 50 ekor rusa betina, lima rusa jantan dan tujuh anak rusa di ladang seluas lapan hektar itu.

Beliau berkata jumlah itu dijangka bertambah kepada 250 ekor dalam tempoh dua tahun ini untuk membantu penternak rusa kecil-kecilan mendapatkan baka berkualiti lebih murah berbanding harga pasaran.

"Kaedahnya belum dimuktamadkan sama ada dijual, sistem pawah atau melalui geran padanan. Setakat ini, terdapat kira-kira 50 penternak rusa kecil-kecilan di seluruh Terengganu dan mereka membeli induk dari luar. 

"Antara masalah yang dihadapi ialah kesukaran dalam memperoleh baka jantan dan induk berkualiti bagi peningkatan produktiviti pengeluaran anak serta daging rusa yang bermutu di pasaran. Dengan adanya projek penternakan rusa nukleus ini, kita boleh bantu mereka mendapatkan baka berkualiti secara berterusan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek penternakan itu di sini hari ini.

Dr Azman berkata selain itu, ladang tersebut juga akan menjadi pusat rujukan untuk penternakan rusa yang meliputi sistem, teknologi dan amalan penternakan baik untuk melatih penternak agar terus maju setanding ternakan komersial lembu dan kambing.

Projek ternakan rusa nukleus itu antara program dirancang dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 dan ia mula dibangunkan tahun lepas dengan nilai keseluruhan RM725,000.

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata ternakan rusa mempunyai kelebihan seperti cepat membiak, mempunyai daya tahan tinggi terhadap serangan penyakit dan harganya yang mahal di pasaran iaitu antara RM65 hingga RM85 sekilogram.

"Kita berharap lebih ramai rakyat Terengganu akan berminat mengusahakan ternakan rusa ini kerana ia antara bidang kerjaya yang menjamin pendapatan menguntungkan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan